'Bailout' Sapura Energy: MP Bachok persoal ketelusan kerajaan

Syahir. (Laporan Sinar Harian berhubung Sapura Energy memperoleh pembiayaan RM1.1 bilion daripada kerajaan)
Syahir. (Laporan Sinar Harian berhubung Sapura Energy memperoleh pembiayaan RM1.1 bilion daripada kerajaan)
A
A
A

SHAH ALAM – Keputusan kerajaan menyalurkan suntikan dana RM1.1 bilion kepada Sapura Energy Bhd mendapat kritikan pemimpin Perikatan Nasional (PN), yang menyifatkan langkah itu sebagai bercanggah dengan pendirian Pakatan Harapan (PH) sebelum ini yang menentang sebarang bentuk 'bailout'.

Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman berkata, tindakan ini menunjukkan hipokrasi politik kerana pemimpin utama PH, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli pernah menentang keras langkah menyelamatkan syarikat korporat yang gagal ketika mereka berada di blok pembangkang.

"RM1.1 bilion digunakan untuk menyelamatkan syarikat korporat yang gagal tetapi bagaimana pula dengan keperluan rakyat? Adakah sektor pertanian, pesawah dan pekebun kecil tidak layak mendapat perhatian yang sama?

"Apa guna melompat pagar, bila kaki awak tersangkut. Apa guna bercakap besar, bila janji tidak diikut," sindir Syahir dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut Syahir, keputusan menyuntik dana kepada Sapura Energy memberi gambaran bahawa kerajaan lebih mengutamakan kepentingan syarikat besar berbanding rakyat yang bergelut dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Beliau turut mempersoalkan ketelusan kerajaan dalam membuat keputusan ini serta sama ada ia telah dibincangkan secara konsensus dalam Jemaah Menteri, terutamanya dengan kehadiran pemimpin DAP yang sebelum ini lantang menentang amalan 'bailout'.

Syahir juga mengingatkan bahawa pada tahun 2022, Rafizi sendiri pernah menentang cadangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menyelamatkan Sapura Energy dengan menggunakan dana kerajaan.

"Ketika itu, Rafizi menyatakan bahawa masalah Sapura Energy boleh diselesaikan tanpa campur tangan kerajaan, malah menganggap cadangan 'bailout' sebagai satu bentuk salah guna dana awam.

Artikel Berkaitan:

"Namun, tindakan kerajaan hari ini jelas bercanggah dengan prinsip yang pernah dinyatakan oleh Rafizi sendiri, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada Menteri Ekonomi itu masih berpegang kepada pendiriannya atau telah tunduk kepada keputusan kerajaan," katanya.

Syahir turut menuntut penjelasan kerajaan mengenai sumber dana tersebut dan sama ada ia termasuk dalam Belanjawan 2025.

"Adakah dana ini sebahagian daripada RM7.063 bilion suntikan modal yang diperuntukkan kepada MOF Inc?

"Jika ya, mengapa kerajaan tidak mengutamakan sektor lain yang lebih mendesak?" soalnya.

Beliau juga menekankan keperluan untuk audit forensik terhadap Sapura Energy sebelum sebarang keputusan 'bailout' dibuat, seperti yang pernah ditegaskan oleh Anwar sendiri sebelum ini.

"Rakyat berhak tahu mengapa kerajaan memilih untuk menyelamatkan Sapura Energy, tetapi dalam masa yang sama masih banyak sektor lain yang lebih penting tidak mendapat peruntukan mencukupi," katanya.

Sehubungan itu, Syahir menggesa kerajaan untuk lebih telus dalam menguruskan dana awam dan memastikan bantuan kewangan tidak hanya mengutamakan syarikat besar.

"Jika kerajaan benar-benar mahu membantu rakyat, buktikan dengan tindakan, bukan sekadar retorik politik," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!