Akta PSB undang polemik, beri manfaat atau jejaskan rakyat?

CADANGAN kerajaan menggubal Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) dilihat sebagai satu langkah mempercepatkan usaha pemodenan bandar.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menjelaskan, ia bertujuan mengutamakan hak pemilik asal dan memastikan kemapanan dalam pembangunan bandar.
Bagaimanapun respons rakyat terhadap akta tersebut adalah pelbagai sehingga menimbulkan polemik dalam kalangan masyarakat.
Ada yang menyokong dan ada juga yang membantah namun masing-masing membawa hujah tersendiri.
SOKONG
Perumahan lebih selamat, selesa
CADANGAN kerajaan menggubal Akta PSB dilihat sebagai langkah penting dalam memastikan pembangunan semula kawasan bandar yang usang dapat dilaksanakan dengan lebih efektif dan mampan.
Pelaksanaannya juga tidak menjejaskan rakyat sebaliknya mendatangkan manfaat besar kepada pembangunan ekonomi serta kelestarian bandar dalam jangka masa panjang.
Dengan adanya akta berkenaan, kerajaan dapat menyusun strategi pembangunan semula secara tersusun, terancang dan mesra alam.
Bahkan penduduk turut boleh menikmati jalan raya lebih baik, sistem pengangkutan awam yang cekap serta kemudahan kesihatan atau pendidikan terkini.
Ia sejajar dengan situasi terkini negara yang mempunyai terlalu banyak kawasan bandar lama yang dipenuhi bangunan uzur serta tidak selamat didiami.
Melalui akta ini, kawasan berkenaan boleh diperbaharui dengan rancangan pembangunan perumahan lebih selamat dan selesa untuk rakyat.
Jika dirancang dengan teliti dan adil, semua rakyat di negara ini dapat menikmati manfaatnya, sekali gus meningkatkan kualiti hidup, merangsang ekonomi serta mengawal kos sara hidup.
Pekerja swasta,
Abdul Rahman Abdul Majib, 28.
Tingkat taraf ekonomi rakyat
Sebagai anak muda yang membesar di kawasan bandar lama, saya merasakan bahawa terdapat banyak bangunan dan kemudahan tidak lagi sesuai dengan keperluan semasa.
Sekiranya akta ini mampu merancakkan usaha pembaharuan, saya yakin dan percaya ia akan memberi manfaat besar kepada masyarakat sekali gus merangsang peluang ekonomi serta meningkatkan taraf hidup penduduk.
Apabila kawasan bandar lama diperbaharui, pelbagai projek pembangunan infrastruktur dan perumahan akan dijalankan menjadikan kawasan tersebut bakal menawarkan pelbagai peluang pekerjaan, perniagaan dan pelaburan.
Melalui pembangunan semula kawasan bandar juga, lebih banyak ruang komersial dan pusat perniagaan akan diwujudkan, sekali gus memberi peluang kepada usahawan tempatan untuk mengembangkan perniagaan mereka.
Tidak hanya itu, akta ini turut merangkumi pembinaan kemudahan awam yang lebih baik mengikut keperluan semasa dan seterusnya membolehkan masyarakat menikmati kehidupan lebih selesa.
Pekerja swasta, Muhammad Ikhwan Muhammad Azahari, 29.
BANGKANG
Cadangan menggubal Akta PSB boleh menjejaskan rakyat sekiranya tidak dikendalikan secara adil dan telus selain mengundang risiko pemindahan paksa serta pengusiran penduduk.
Projek pembaharuan bandar yang sering melibatkan pengambilalihan tanah dan bangunan lama berpotensi menyebabkan rakyat kehilangan tempat tinggal terutama golongan berpendapatan rendah khususnya B40.
Meskipun dijanjikan bayaran pampasan oleh kerajaan atau pemaju, tidak dinafikan risiko peningkatan kos sara hidup di kawasan bandar juga pasti akan berlaku.
Selepas kawasan tersebut diperbaharui, sudah pasti berlakunya peningkatan harga rumah atau kadar sewa sehingga menyebabkan penduduk asal tidak lagi mampu membeli dan menyewa di kawasan didiami.
Akibatnya, golongan B40 mungkin terpaksa berpindah jauh daripada bandar sehingga boleh menjejaskan akses mereka terhadap pekerjaan dan kemudahan awam.
Selain itu, projek pembangunan semula itu turut membawa kepada kemasukan perniagaan dan pusat komersial baharu yang sedikit sebanyak mengundang peningkatan harga barangan serta perkhidmatan.
Keadaan ini memberi kesan kepada rakyat biasa yang mungkin tidak mampu menanggung kos sara hidup lebih tinggi.
Pekerja swasta,
Nurul Izzah Sa’ayah, 26.
Pembangunan untungkan pemaju
Apabila sesuatu kawasan dibangunkan semula, ramai penduduk asal akan dipindahkan atas alasan pembangunan.
Hal tersebut akan menyebabkan mereka juga berdepan risiko menerima tawaran pampasan yang tidak adil dan tidak mencerminkan nilai sebenar rumah mereka.
Perkara ini mengundang kerisauan penduduk kerana mereka melihat projek berkenaan lebih menguntungkan pemaju berbanding rakyat.
Salah satu realiti dalam pembangunan semula bandar ialah pemaju lebih cenderung membangunkan tanah premium seperti kondominium mewah, pusat beli-belah dan pejabat elit.
Kecenderungan itu hakikatnya mengundang risiko projek perumahan mampu milik menjadi terhad dan tidak mencukupi untuk rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.
Selain itu, ketidakseimbangan pembangunan dalam projek tersebut juga boleh menyebabkan berlakunya jurang antara golongan kaya dan miskin di bandar.
Semakin banyak pembangunan mewah, kawasan bandar akan menjadi tempat eksklusif untuk golongan kaya manakala rakyat biasa sukar menikmati kehidupan disebabkan harga rumah dan kos sara hidup yang tinggi.
Pekerja swasta,
Amir Hafiz Ahmad Abas, 29.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!