Akta Pembaharuan Semula Bandar ancam hak milik hartanah rakyat

SHAH ALAM - Gerakan Ekonomi Malaysia membantah cadangan penggubalan Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang dilihat mengancam hak milik hartanah rakyat serta membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa dan amalan rasuah.
Presidennya, Armin Baniaz Pahamin berkata, akta itu juga berpotensi meminggirkan golongan berpendapatan rendah apabila penurunan ambang persetujuan daripada 100 peratus kepada 80 atau 75 peratus yang memberikan kuasa kepada pemaju dan kerajaan.
Menurut beliau, tindakan tersebut berisiko menjejaskan golongan berpendapatan rendah (B40) dan kumpulan rentan lain yang berkemungkinan kehilangan tempat tinggal.
“Golongan ini mungkin kehilangan tempat berteduh tanpa jaminan penempatan semula yang setimpal malah harga atau nilai pampasan ditawarkan juga tidak mencukupi untuk memastikan mereka mampu dan terus menetap di bandar.
“Akta berkenaan turut seakan menafikan hak individu apabila pemaju mengambil alih hartanah walaupun terdapat pemilik tidak bersetuju dan ini membuka ruang kepada pihak berkepentingan untuk memanipulasi majoriti bagi mendapatkan persetujuan projek pembangunan.
“Hal ini jelas bertentangan dengan prinsip keadilan dan hak asasi manusia,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Terdahulu, Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) telah bersetuju menggubal PSB untuk memastikan kemampanan dalam pembangunan bandar.
Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, akta itu perlu digubal bagi menangani risiko keusangan dan kemerosotan kawasan bandar.
Justeru, Armin menggesa agar kerajaan menarik balik cadangan PSB sehingga perbincangan dan konsultasi awam lebih meluas diadakan.
Beliau berkata, akta tersebut boleh dilaksanakan dengan adil dan saksama hanya dengan persetujuan semua pihak.
“Kami menuntut kerajaan mengutamakan kepentingan rakyat dalam sebarang projek pembangunan semula bandar serta memastikan hak milik hartanah rakyat dilindungi dengan jelas dalam semua dasar atau undang-undang baharu diperkenalkan.
“Kami juga percaya pembangunan semula bandar perlu dilakukan secara inklusif dan beretika dengan memastikan tiada golongan yang dipinggirkan atau teraniaya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

