Contohi akhlak terpuji Rasulullah

Islam menekankan kepentingan menyokong dan mendorong individu yang sedang berhijrah ke arah kebaikan. (Gambar kecil: Mohd Izhar Ariff)
Islam menekankan kepentingan menyokong dan mendorong individu yang sedang berhijrah ke arah kebaikan. (Gambar kecil: Mohd Izhar Ariff)
A
A
A

SHAH ALAM - Islam sebagai agama yang sempurna mengajar umatnya untuk mencontohi akhlak Rasulullah SAW dalam segala aspek kehidupan terutama ketika menyampaikan dakwah.

Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, pendekatan dakwah yang digunakan oleh Rasulullah SAW di Makkah lebih menekankan aspek akidah dan akhlak tanpa terus menghukum seseorang.

Ini kerana katanya, akidah merupakan tunjang utama dalam membina keyakinan kepada ALLAH SWT termasuk kefahaman mengenai dosa dan pahala.

“Apabila Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, barulah hukum Islam diturunkan kerana ketika itu para sahabat telah memiliki akidah yang mantap untuk mematuhi perintah ALLAH dan Rasul-Nya.

“Kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW perlu menjauhi sifat suka menghukum dan sebaliknya memberi didikan kepada masyarakat. Menerusi pendekatan ini, semua pihak mempunyai peluang untuk berubah ke arah kebaikan,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Izhar Ariff berkata, Islam turut menekankan kepentingan menyokong dan mendorong individu yang sedang berhijrah ke arah kebaikan.

Menurutnya, pendekatan disarankan menggunakan kaedah proaktif seperti memberi kata-kata positif, menyampaikan hukum secara bijaksana dan membantu mereka mendapatkan sumber ilmu yang sahih.

“Ingatkan mereka Islam ialah agama yang sederhana dan bukan menyusahkan,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan kepentingan konsep amar makruf nahi mungkar dalam memelihara kesejahteraan agama dan negara.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, umat Islam diingatkan agar mematuhi undang-undang negara dan menghormati fatwa dikeluarkan mufti.

“Menerusi prinsip ini, kehidupan masyarakat akan menjadi lebih harmoni dan sejahtera.

“Selain itu, usaha menghidupkan masjid serta menyokong program agama di media sosial dan televisyen adalah sebahagian daripada usaha menyebarkan kebaikan.

“Kongsi perkara positif lebih baik daripada kita kongsi perkara sia-sia di laman sosial. Tutup aib orang juga adalah salah satu tanda tolong-menolong,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!