Penyelam halang, ganggu pergerakan penyu dan ikan yu paus undang kecaman

KOTA KINABALU – Tindakan sekumpulan penyelam menghalang pergerakan seekor penyu dan ikan yu paus dalam dua video berasingan yang tular baru-baru ini mengundang kecaman orang ramai.
Dalam video masing-masing berdurasi 31 saat dan satu minit empat saat itu, kelihatan penyelam bertindak mengganggu haiwan tersebut ketika melakukan aktiviti selaman yang dipercayai berlaku di perairan Pulau Manukan, di sini.
Presiden Kelab Sabah Dive Squad, Sim Fui, menyatakan kebimbangannya kerana tindakan tersebut boleh membahayakan ekosistem laut.
Menurutnya, mengganggu hidupan marin merupakan satu pelanggaran undang-undang berkaitan pemuliharaan laut serta standard etika selaman.
"Sebagai komuniti selam yang bertanggungjawab, kami berpegang teguh kepada prinsip perlindungan marin.
"Mengganggu, menyentuh atau menahan hidupan laut, khususnya spesies yang dilindungi seperti penyu laut dan ikan yu paus, adalah perbuatan yang tidak boleh diterima serta membahayakan kesejahteraan mereka," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sim Fui berkata, perbuatan tersebut juga boleh menyebabkan gangguan kepada hidupan laut, mengganggu tingkah laku semula jadi dan merosakkan ekosistem yang menjadikan perairan Sabah destinasi selaman bertaraf dunia.
Sehubungan itu, beliau menggesa siasatan penuh dijalankan dan pihak berkuasa perlu mengenal pasti individu yang terlibat serta mengambil tindakan penguatkuasaan sewajarnya.
"Saya juga merayu kepada penyelam, pengusaha pusat selaman dan pelawat untuk sentiasa mematuhi amalan selaman yang bertanggungjawab serta melaporkan sebarang pelanggaran yang mengancam biodiversiti marin.
"Kita juga menggalakkan sesiapa yang mempunyai maklumat tambahan mengenai insiden tersebut untuk tampil ke hadapan dan membantu dalam memastikan akauntabiliti.
"Dunia bawah laut Sabah adalah satu keistimewaan untuk diterokai, bukan taman permainan," tegasnya.
Menurutnya, Kelab Sabah Dive Squad sekali lagi menegaskan komitmennya dalam mempromosikan selaman beretika serta akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, kumpulan pemuliharaan dan komuniti selam bagi melindungi persekitaran marin Sabah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
