Suami isteri loya termakan ikan cencaru berulat ketika sahur

KOTA BHARU – Sepasang suami isteri mengalami pengalaman meloyakan ketika bersahur apabila termakan ikan cencaru berulat.
Wanita yang dikenali sebagai Azura, 34, berkata, dia membeli lauk berkenaan di sebuah gerai di Tawang, Bachok kira-kira jam 7 malam, Selasa untuk juadah bersahur pada pagi keesokannya.
Menurutnya, seekor ikan cencaru berlado tersebut dibeli bersama lauk kepala ikan patin dan sebungkus tomyam di mana kesemuanya berharga RM30.
“Peniaga membungkusnya dengan baik dalam plastik dan sampai saja di rumah saya terus simpan dalam peti sejuk.

“Pada jam 5 pagi, saya panaskan lauk itu dalam ketuhar gelombang mikro dan makan bersama suami, tapi bila nasi nak habis, baru saya perasan ada lebih 10 ekor ulat di isi ikan,” katanya.
Azura berkata, ulat-ulat itu berada di bahagian dalam ikan yang tidak dapat dilihat dari luar, menyebabkan mereka tidak menyedari perkara itu lebih awal.
“Saya tak tahu berapa ekor yang sudah tertelan.

“Masa sedar ada ulat, tekak saya terus rasa loya dan cuba bilas dengan air serta makan kurma untuk hilangkan rasa mual,” katanya.
Menurutnya, ini kali pertama dia membeli makanan dari gerai berkenaan dan tidak menyangka mengalami kejadian seperti itu.
“Sebenarnya, masa makan pun saya sudah rasa isi ikan itu tak segar dan sambal sedikit berlendir,” katanya.
Azura dalam pada itu menasihatkan peniaga supaya lebih berhati-hati dalam menjual makanan kepada pelanggan bagi mengelakkan insiden seperti ini berulang.
“Saya harap peniaga jangan panaskan semula makanan yang tidak habis kerana boleh rosak dan memudaratkan kesihatan pelanggan.
“Saya sendiri dah serik dan takkan beli di gerai itu lagi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

