[VIDEO] Perbezaan kompaun: Fahami perubahan akta, undang-undang
PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Semua pihak perlu memahami perubahan akta dan undang-undang yang telah diluluskan bagi mengelakkan kekeliruan berhubung perbezaan hukuman serta kompaun yang dikenakan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah diminta untuk memperjelaskan perkara tersebut.
“Sebarang tanggapan atau perkongsian maklumat yang tidak tepat mengenai isu ini hanya akan mencetuskan persepsi tidak sihat, sedangkan kita semua dituntut untuk terus menyemai keharmonian dan kesejahteraan dalam masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi taklimat harian yang disampaikan oleh Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah pada Rabu.

Dalam pada itu, Anwar memaklumkan bahawa nasihat agar sentiasa membawa mesej perpaduan telah diberikan kepada penyampai radio slot 3 Pagi Era, iaitu Nabil Ahmad, Azad Jazmin dan Radin, dalam Majlis Iftar Bersama Pengamal Media pada Selasa.
"Mesej ini bukan saja menjurus kepada mereka, tetapi kepada semua pihak agar bersama-sama menjadi ejen perpaduan dan membantu usaha kerajaan menyatukan rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang, agama, kaum dan bangsa," jelas beliau.
Terdahulu, pengendali stesen radio Era FM, Maestra Broadcast Sdn Bhd, dikompaun RM250,000 kerana memuat naik kandungan jelik melampau di akaun rasmi TikTok Era FM.
Kesalahan itu berkaitan video kontroversi yang menampilkan trio penyampai Era FM.
Namun, jumlah kompaun tersebut mencetuskan kritikan daripada pelbagai pihak, yang turut membandingkannya dengan kompaun RM10,000 yang dikenakan terhadap pelawak dan pelakon, Harith Iskander serta Celelia Yap Song, kerana kesalahan menghina Islam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
