Musim lelaki jadi ‘penunggu’ depan kedai kembali

BILA masuk minggu kedua Ramadan, shopping mall sudah mula rancak dengan kunjungan orang ramai.
Apatah lagi dengan hiasan perayaan yang menarik dan lagu raya yang berkumandang menggamit memori sesiapa sahaja.
Merak Jalanan ambil peluang mengunjungi pusat beli-belah sekitar Shah Alam, bukan mahu shopping baju raya sangat tetapi lebih kepada menikmati suasana.
Memang ramai pengunjung ketika itu, ditambah dengan peniaga yang pandai ‘ambil hati’ dengan jualan murah yang sesetengah macam tak masuk akal menyebabkan ramai orang menyerbu.
Di kala kita berkira-kira dengan perbelanjaan harian dan persiapan raya, kadang kala jualan murah seperti itu memang ditunggu-tunggu.
Selagi kita boleh berjimat, kita jimat mana yang boleh asalkan sambutan Aidilfitri meriah seadanya.
Melintasi beberapa kedai yang menjual baju kurung dan tudung, Merak Jalanan melihat kerusi-kerusi yang disediakan di hadapan premis berkenaan penuh dengan lelaki-lelaki.
Satu situasi yang hanya akan ada pada musim perayaan - bapa-bapa atau suami-suami tersidai di hadapan premis menunggu isteri masing-masing selesai melunaskan ‘hajat’ hari raya.
Ada yang bermain telefon sambil sesekali mata menjeling dalam kedai, mungkin sudah bosan menunggu lama atau pun kepala sarat dengan jumlah RM yang terbang pada hari berkenaan.
Ada juga yang menjadi ‘bibik’ sementara mengejar anak-anak kecil yang keriangan, mungkin sudah ‘digula-gulakan’ dengan baju baru mungkin.
Apa juga situasinya, Merak Jalanan tabik kepada suami-suami yang melayan karenah isteri masing-masing pada musim perayaan ini, semoga terus dimurahkan rezeki.
Namun, dalam kita sakan berbelanja jangan lupa bayar zakat fitrah. Takut nanti nak solat Aidilfitri baru teringat ‘hutang’ zakat fitrah belum lunas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
