Larang pelanggan 'walk-in' rupanya jual ikan larangan

SHAH ALAM - Tidak membenarkan pelanggan datang secara 'walk-in', sebaliknya hanya berurusan jual beli secara dalam talian selain premis tidak mempunyai papan tanda.
Itu antara taktik premis akuarium menjual spesies ikan larangan yang dibongkar Jabatan Perikanan Selangor menerusi dua serbuan di Petaling Jaya, dekat sini, pada Isnin.
Pengarah Perikanan Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, serbuan di dua premis bermula jam 12 tengah hari itu telah bertindak menyita sebanyak 174 ekor ikan pelbagai jenis dan saiz.

Katanya, kedua-dua premis tersebut tidak dibuka kepada orang awam, namun dibuka khas bagi tempahan secara dalam talian oleh pembeli.
"Antara ikan yang disita ialah Spotted Gar, Peacock Bass, Amazon RTC, Tiger Shovelnose Catfish, Emperor Blue Hook, Arapaima dan Silver Dollar bersaiz tiga hingga enam inci yang dijual lingkungan harga RM30 hingga RM300 bergantung kepada jenis ikan," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata, harga itu juga tidak termasuk caj penghantaran.
Tambahnya, kertas siasatan telah dibuka terhadap kedua-dua perniagaan tersebut.

"Jabatan Perikanan mengingatkan semua pihak bagi mematuhi peruntukan undang-undang sedia ada. Larangan terhadap pemilikan ikan larangan adalah di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Import, DSB Bagi Ikan) (Pindaan 2024)," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
