Malaysia perlu peka ancaman pengganas

SHAH ALAM - Malaysia perlu peka dengan ancaman daripada kumpulan pemberontak atau pengganas yang mungkin menyelinap masuk ke negara ini bagi mendapatkan perlindungan tanpa disedari.
Penganalisis Keselamatan dan Geopolitik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Mohamad Faisol Keling berkata, sebarang kesilapan yang meloloskan penjenayah, pengganas mahupun pemberontak ke dalam negara akan menjejaskan hubungan dua hala Malaysia-Thailand. Menurut beliau, kepentingan keselamatan secara bersama lebih utama yang mana usaha pembanterasan keganasan dan jenayah mesti kekal menjadi agenda kedua-dua negara.
“Kejadian serangan dan letupan bom di Sungai Golok ini dikategorikan kecil berbanding pelbagai kes lebih besar di selatan Thailand antaranya peristiwa berdarah Tak Bai 20 tahun lalu.
“Serangan ini hanya isyarat yang cuba disampaikan pengganas kepada kerajaan dan negara jiran mengenai kewujudan serta status mereka,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Polis Thailand sebelum ini menyatakan berlaku letupan di pos kawalan keselamatan di luar Pejabat Daerah Sungai Golok di Jalan Sungai Golok-Sungai Padi.
Pihaknya memberitahu, beberapa tembakan dilepaskan oleh sekumpulan penyerang menyebabkan sekurang-kurangnya dua anggota keselamatan Thailand maut manakala lapan lagi cedera dalam kejadian kira-kira 7.10 malam, bagaimanapun tiada rakyat Malaysia terlibat.
Penyerang dikatakan melepaskan beberapa das tembakan sebelum melemparkan lima bom tangan ke arah pos kawalan di hadapan Pejabat Daerah Sungai Golok.
Ditanya mengenai kecukupan dari segi langkah keselamatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mohamad Faisol berpandangan, pihak berkuasa berkenaan dikehendaki memperluas kaedah perisikan dan memperketat aktiviti pengawalan di seluruh kawasan, bukan hanya tertumpu di bandar sempadan.
Tambah beliau, pasukan perisikan terlibat juga perlu menjalankan siasatan dan mendapatkan maklumat sehingga ke pusat operasi pengganas yang mungkin tertumpu di tengah hutan belantara Thailand.
“Sumber risikan mesti pelbagai, tak boleh bergantung kepada maklumat kerajaan atau agensi keselamatan Thailand semata-mata. Babitkan maklumat daripada penduduk tempatan yang lebih mengenali penjenayah, pengganas atau pemberontak ini,“ ujarnya.
Sementara itu, penganalisis pertahanan, Zaki Salleh berpendapat, insiden letupan bom atau serangan rambang sering berlaku di selatan Thailand sejak dahulu lagi.
Jelas beliau, masalah perniagaan dan persaingan mungkin antara faktor penyumbang kepada pergolakan itu, malah pemilikan senjata api di wilayah berkenaan juga lebih terbuka.
“Jadi selalunya apa yang berlaku cenderung kerana soal keselamatan negara di bahagian Narathiwat, Thailand. Tetapi, dalam konteks kesan kepada Malaysia, secara keseluruhannya tidaklah (terjejas) kecuali Kelantan kerana berdekatan beberapa kilometer (km) sahaja.
“Menjadi kebimbangan ketika ini tentang keselamatan rakyat Malaysia yang ada keperluan untuk ke sana dan penduduk tempatan di Sungai Golok. Kebiasaannya kalau tahu ada insiden, mereka tangguh dahulu ke seberang.
“Jika dah reda barulah mereka pergi, cuma kadang-kadang tak boleh nak halang aktiviti keluar masuk (sempadan) kerana itu memang rutin mereka,“ jelas Zaki lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

