Dasar Wanita Negara 2025-2030

KUALA LUMPUR – Dasar Wanita Negara 2025-2030 diperkenalkan sebagai kesinambungan usaha memartabatkan peranan wanita dalam pelbagai sektor seiring dengan pembaharuan Dasar Sosial Negara 2030 dan keperluan menangani cabaran serta isu semasa berkaitan wanita.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia diberi nafas baharu dalam memastikan wanita di negara ini mendapat peluang yang adil dan saksama dalam bidang ekonomi, kepimpinan, keselamatan dan kesejahteraan.
Menurutnya, sebelum dasar ini dirangka, pelbagai perbincangan telah diadakan bagi menentukan keperluan serta peruntukan bajet demi memastikan inisiatif tersebut dapat dilaksanakan dengan berkesan.
"Banyak pecahan dalam dasar ini tetapi lebih kepada ekonomi masyarakat terutama golongan wanita. Sebelum ada dasar ini kita telah banyak bincang apa yang perlu kita letakkan bajet untuk pertama sekali.
"Kita nak bantu perkasa wanita terutama mereka yang terlibat dalam keganasan rumah tangga dan menyokong mereka agar lebih kuat untuk menanganinya. Ini tujuan kita perbaharui dasar," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perasmian Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 di sini pada Sabtu.
Majllis perasmian sambutan berkenaan berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kemudian turut melancarkan Dasar Wanita Negara 2025-2030.
Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 merupakan anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Jabatan Pembangunan Wanita (JPW).
Antara aktiviti utama yang dianjurkan oleh JPW sempena sambutan tersebut adalah kempen kesedaran dan advokasi, forum serta sesi dialog bersama-sama pemimpin wanita dan pakar dalam pelbagai bidang, diskusi berkaitan aspek kepimpinan, ekonomi dan kesejahteraan wanita.
Beliau turut menegaskan pelaksanaan dasar itu perlu disertai dengan tindakan tegas termasuk hukuman kepada pelaku keganasan rumah tangga.
Jelasnya, oleh sebab itu kerjasama masyarakat dalam membina kesedaran berhubung hak dan perlindungan wanita adalah sangat penting.
"Kami mahu orang ramai bersama-sama memainkan peranan. Bukan sekadar bercakap, tetapi perlu ada tindakan yang jelas dan pelaksanaan yang berkesan.
"Dasar ini akan disusuli pelan tindakan yang komprehensif, dengan beberapa inisiatif tambahan akan diperhalusi bagi memastikan setiap wanita, terutama mereka yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga mendapat perlindungan dan sokongan yang sewajarnya.
"Kita juga adakan kerjasama dengan syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kementerian lain yang mana dasar mereka perlu mengambil kira terhadap wanita. Ini kerana isu berkaitan wanita bukan hanya menjadi tanggungjawab satu kementerian sahaja," ujarnya.
Wanita mampu realisasi impian
Sementara itu, Nancy memberitahu, Sambutan Hari Wanita Antarabangsa tahun ini bertemakan 'Wanita Beraspirasi, Membina Legasi'.
Katanya, tema itu dipilih untuk menegaskan bahawa wanita bukan hanya bermimpi besar tetapi mampu merealisasikan impian mereka dalam pelbagai bidang.
"Wanita Beraspirasi mencerminkan keberanian, tekad dan keinginan mereka untuk mencapai kecemerlangan dalam apa jua bidang yang diceburi.
"Membina Legasi menandakan sumbangan besar dan impak wanita dalam membentuk masa depan masyarakat dan negara. Tema ini selari dengan aspirasi Malaysia Madani, yang menekankan pembangunan yang inklusif, mampan dan adil untuk semua rakyat Malaysia," jelasnya.
Beliau berkata, prasambutan itu dilaksanakan secara berperingkat melibatkan Zon Borneo pada 11 Februari lepas, diikuti Zon Timur (18 Februari), Zon Selatan (24 Februari), Zon Tengah (25 Februari) dan diakhiri Zon Utara (26 Februari), dengan anggaran seramai 500 hingga 1,000 peserta terlibat dalam setiap sambutan pada peringkat zon.
“Kita berbangga kerana program ini mendapat sokongan padu daripada rakan-rakan strategik termasuk agensi kerajaan negeri, Pos Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan sebagainya.
"Malaysia Madani tidak akan lengkap tanpa penyertaan dan sumbangan wanita dalam pelbagai aspek pembangunan negara," ujarnya.
Setem khas bertemakan wanita

Dalam pada itu, Nancy menjelaskan KPWKM menerusi JPW turut mengadakan kerjasama dengan Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) menghasilkan setem khas sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 sebagai tanda meraikan wanita.
Nancy berkata, idea penghasilan setem itu tercetus daripada pasukan JPW yang ingin memberi kelainan pada sambutan tahun ini.
“Ini adalah kali pertama kementerian bekerjasama dengan Pos Malaysia dalam menghasilkan setem bertemakan wanita.
“Produk baharu ini mempamerkan wajah wanita yang boleh mengingatkan dunia mengenai peranan dan kepentingan mereka dalam masyarakat,” ujarnya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pelancaran Setem Hari Wanita Antarabangsa 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini pada Sabtu.
Antara produk yang terkandung di dalam keluaran setem ini adalah dua reka bentuk setem yang disebut sebagai setem 'se-tenant' iaitu ia dicantumkan dalam satu lembaran setem dengan denominasi setem bernilai RM1.30 setiap satu.
Selain itu, sampul surat hari pertama dengan cap tarikh istimewa iaitu menggunakan logo Hari Wanita Antarabangsa 2025, poskad dan folder.
Harga set folder lengkap bagi keluaran setem ini adalah RM38.10.
Tambah Nancy, pelbagai program telah dilakukan bagi memastikan wanita terutama gololongan muda tidak rasa dipinggirkan.
“Sebagai kementerian KPWKM, kita harus memperkasa wanita, dalam masa sama mahu melahirkan lebih ramai pemimpin dalam kalangan mereka tidak kira apa jua bidang sama ada ekonomi, sosial serta politik.
"Politik ini agak kurang sikit, jadi kita nak tambah lagi. Selain itu, kementerian juga ada menyediakan pelbagai program yang membuka peluang kepada lebih ramai wanita untuk berjaya terutama golongan muda.
"Kita tidak mahu wanita muda fikir kerajaan meminggirkan mereka.Jadi, menerusi program yang disediakan dapat membantu mereka pada masa hadapan,”ujarnya.
Beliau turut memberitahu kali ini pihaknya juga membawa seramai mungkin rakan strategik untuk membantu dan mendedahkan produk usahawan wanita menerusi pameran yang disediakan sempena Hari Wanita Antarabangsa 2025 yang berlangsung di WTC," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
