Johor sasar sifar miskin tegar, 235 keluarga akan dibantu

Mohd Fared (tengah) pada sidang akhbar di Kota Iskandar pada Isnin.
Mohd Fared (tengah) pada sidang akhbar di Kota Iskandar pada Isnin.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI – Sebanyak 235 kes miskin tegar masih direkodkan di Johor sehingga November tahun lalu dengan usaha giat dijalankan bagi memastikan negeri ini mencapai sifar miskin tegar.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, sebelum ini, Johor berjaya menurunkan kadar miskin tegar kepada sifar setakat 31 Julai 2024, berbanding 4,378 kes yang direkodkan pada Mac 2023.

"Walaupun kita berjaya mencapai sifar miskin tegar pada Julai tahun lalu, data terkini menunjukkan masih ada 235 ketua isi rumah yang perlu diberi perhatian.

"Kita akan pastikan kesemua mereka dibantu dan semua pihak terbabit perlu bekerja keras membantu golongan berkenaan sebelum Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 25 Mac ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Taklimat Penyelarasan Pembasmian Kemiskinan Tegar dan Taklimat Program Dapur Kasih Johor 2025 di Kota Iskandar, di sini, pada Isnin.

Hadir sama Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin-Nisa Ismail.

Menurut Mohd Fared, berdasarkan pecahan kawasan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau mencatat jumlah kemiskinan tegar tertinggi dengan 19 kes, diikuti Sedili (18 kes) dan Panti (15 kes).

"Pelbagai program telah dilaksanakan, antaranya ‘Keluarga Angkat’ dan ‘Dapur Kasih Johor’, yang membantu keluarga berpendapatan rendah meningkatkan taraf hidup mereka.

"Peruntukan bagi Dapur Kasih Johor turut dinaikkan daripada RM3.2 juta kepada RM3.9 juta, memberi manfaat kepada 3,261 ketua isi rumah tahun ini," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, data penerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) akan dikemas kini setiap suku tahun bagi memastikan bantuan diberikan secara menyeluruh dan berkesan.

"Matlamat utama bukan sekadar membasmi kemiskinan tegar, tetapi memastikan tiada keluarga yang kembali berada dalam kesusahan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!