Berarak ke mahkamah demi tanah pusaka
KOTA BHARU – Lebih 100 Orang Asli suku Temiar dari Kampung Kelaik, Gua Musang berarak ke Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin bagi mendengar perbicaraan kes tuntutan tanah pusaka milik nenek moyang mereka seluas 8,923.9 hektar.
Mereka yang diketuai Tok Batin, Ahak Uda tiba dengan dua bas ekspres pada jam 10 pagi.
Menurut Ahak, kesemua mereka berusia empat hingga 80 tahun terdiri daripada lelaki dan wanita bertolak dari kampung berkenaan pada jam 5 pagi.
“Tujuan kami hadir ke mahkamah ini adalah untuk menuntut tanah adat kami.
“Sekarang tempat kami ini, banyak berlaku kerosakan yang menyebabkan pencemaran dan gangguan kepada habitat haiwan serta kami sendiri,” dakwanya.
Ahak bersama dua penduduk, Aziz Angah dan Anjang Uda sebagai plaintif memfailkan saman itu pada 2021 bagi pihak diri mereka dan 200 penduduk Kampung Kelaik di Mahkamah Tinggi Kota Bahru untuk memohon pengisytiharan bahawa mereka adalah pemilik sah tanah pusaka terbabit.
Mereka diwakili peguam, Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh.
Plaintif menamakan 14 defenan iaitu Syarikat Perlombongan Gua Musang Sdn Bhd, Redstar Capital Sdn Bhd, Aqua Orion Sdn Bhd, Damai Corporate Services Sdn Bhd, Sindiyan Sdn Bhd dan Sindiyan Agro Park Sdn Bhd.
Turut dinamakan sebagai defendan ialah Ladang Kelantan Sdn Bhd, Ikrar Bumi Sdn Bhd, Ladang Ulu Nenggiri Sdn Bhd, Iliasco Engineering & Construction Sdn Bhd, Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kelantan, Jabatan Perhutanan Kelantan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) serta Kerajaan Negeri Kelantan.
Pernyataan tuntutan mereka mendakwa defendan menceroboh tanah pusaka milik nenek moyang untuk menjalankan aktiviti perlombongan, pembalakan serta penanaman kelapa sawit dan pokok getah yang menjejaskan kehidupan seharian penduduk kawasan sekitar.
Perbicaraan hari pertama ini berlangsung di hadapan Hakim, Hasbullah Adam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

