Pindaan Akta Orang Asli 1954 dibentang pertengahan tahun depan

SEREMBAN - Pindaan Akta Orang Asli 1954 akan dibawa ke Parlimen dijangka hujung tahun ini atau selewatnya pertengahan tahun depan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) kini sedang giat melaksanakan sesi libat urus dengan pemimpin Orang Asli bersama golongan profesional dan intelektual.
Menurutnya, kementerian meletakkan sasaran September ini untuk draf awal pindaan ini setelah sesi libat urus selesai.
"Kita akan bersama-sama dengan bahagian undang-undang, Jabatan Peguam Negara untuk menyelesaikan masalah ini.
"Insya-ALLAH kalau ia telah selesai, pindaan ini akan di bawa ke jemaah menteri dan saya sendiri akan membawanya untuk mendapatkan kelulusan daripada menteri sebelum dibentangkan di Parlimen dijangka lewat pertengahan tahun depan.
"Bagaimanapun kita akan cuba untuk akhir tahun ini bagi dibentangkan di Dewan Rakyat dan seterusnya di Dewan Negara," katanya ketika sidang akhbar di Majlis Santunan Kasih Ramadan (MSKR) di Masjid Al-Munawwarah Panchor Jaya di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut beliau berkata, terdapat beberapa aspek akan diambil kira untuk dimasukkan dalam ubah suai dan naik taraf akta yang telah berusia lebih 70 tahun itu.
"Antaranya berkaitan soal tanah yang terdapat beberapa pertikaian antara komuniti Orang Asli dengan kerajaan negeri, pemilik tanah sama ada swasta serta kerajaan selain berkaitan kawasan rayau.
"Di samping itu, kita turut memberikan penekanan mengenai pendidikan dan ekonomi dan perumahan selesa Orang Asli.
"Turut diambil kira termasuk infrastruktur, bekalan air dan elektrik serta kemudahan-kemudahan lain," katanya.
Pada masa sama katanya, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) akan membuat kajian perbandingan di New Zealand untuk melihat Akta Orang Asli Maori yang dapat dijadikan salah satu panduan pindaan akta berkenaan.
"Apa dilakukan di negara berkenaan mungkin boleh diguna pakai dan kita boleh jadikan panduan," tambah beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

