Perkasa pemulihan berbanding hukuman - Saifuddin

Jabatan Penjara Malaysia kini memperkasakan sistem pemulihan banduan dengan mengutamakan falsafah 'pemulihan berbanding hukuman'.
Jabatan Penjara Malaysia kini memperkasakan sistem pemulihan banduan dengan mengutamakan falsafah 'pemulihan berbanding hukuman'.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Jabatan Penjara Malaysia kini memperkasakan sistem pemulihan banduan dengan mengutamakan falsafah 'pemulihan berbanding hukuman'.

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengingatkan masyarakat agar tidak perlu bimbang memandangkan Malaysia masih mengekalkan unsur kawalan dan keselamatan dalam sistem tersebut.

Menurutnya, Jabatan Penjara Malaysia mengambil contoh amalan terbaik dari negara maju seperti Norway dan Belanda, yang mengutamakan pemulihan dan integrasi semula banduan ke dalam masyarakat.

"Sebagai contoh, di Norway, falsafah pemulihannya lebih bersifat 'image-centric', di mana pesalah bagi kesalahan kecil tidak dipenjara tetapi menjalani hukuman secara non-custodial (tanpa dipenjarakan).

"Malah, jika kita lihat kadar residivisme (pengulangan jenayah), Malaysia berada pada tahap 12 peratus berbanding Amerika Syarikat yang mencecah 60 peratus, yang menariknya, walaupun Norway diiktiraf sebagai antara sistem penjara terbaik di dunia, kadar residivisme mereka masih berada pada tahap 20 peratus sama seperti Perancis," katanya.

Saifuddin beramah mesra bersama peniaga Bazar Ramadan Bandar Puteri Jaya ketika melakukan kunjungan pada Ahad.
Saifuddin beramah mesra bersama peniaga Bazar Ramadan Bandar Puteri Jaya ketika melakukan kunjungan pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni YB Menteri Dalam Negeri Bersama Jabatan Penjara Malaysia Tahun 2025 di Masjid Sultan Muzaffar Shah di sini pada Ahad.

Sebelum itu, Saifuddin singgah ke Bandar Puteri Jaya bagi menyantuni pengunjung dan peniaga Bazar Ramadan di kawasan tersebut.

Dalam ucapan sama, Saifuddin turut menyatakan bahawa kejayaan melalui pendekatan itu terletak pada silibus pemulihan yang lebih berstruktur dan holistik.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, hala tuju kita mestilah agresif dalam mencari kaedah alternatif supaya program pemulihan lebih berkesan," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menggesa Jabatan Penjara Malaysia memperluaskan pelaksanaan hukuman alternatif bagi mengurangkan kebergantungan kepada pemenjaraan sepenuhnya.

"Antara langkah yang boleh diperluaskan ialah Perintah Kehadiran Wajib (PKW), tahanan rumah dan pemantauan elektronik (EMD) bagi membolehkan pesalah menjalani hukuman di luar penjara dengan syarat tertentu," jelasnya.

Beliau yakin pendekatan ini bukan sahaja dapat mengurangkan kesesakan penjara tetapi juga memberi peluang kepada banduan untuk kembali menyumbang kepada keluarga dan ekonomi negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!