Dr Taufiq tawar diri bertanding Ketua Cabang PKR Sungai Petani

Dr Taufiq tawar diri bertanding Ketua Cabang PKR Sungai Petani.
Dr Taufiq tawar diri bertanding Ketua Cabang PKR Sungai Petani.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Taufiq Johari pada Isnin secara rasmi menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sungai Petani dalam pemilihan parti yang akan berlangsung Mei depan.

Menurut Dr Taufiq, keputusan itu dibuat bagi memastikan kesinambungan perjuangan parti di kawasan terbabit terus diperkukuh, selari dengan hasrat untuk mempertahankan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan tersebut dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

“Sungai Petani adalah antara cabang terawal mengibarkan panji perjuangan PKR di Kedah sejak penubuhan parti pada tahun 1999. Dengan keanggotaan hampir 14,000 orang, cabang ini memainkan peranan penting dalam landskap politik negeri,” katanya memetik kenyataan dimuat naik di laman Facebooknya pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada barisan pimpinan cabang serta bekas pemimpin yang telah berbakti kepada parti sepanjang perjuangan menegakkan keadilan dan reformasi di kawasan itu.

“Segala pencapaian parti selama ini terhasil daripada usaha keras dan pengorbanan para aktivis, baik generasi terdahulu mahupun anak muda pelapis.

“Kini, menjadi tanggungjawab kita untuk menggabungkan kekuatan lama dan idealisme baharu demi memastikan parti terus relevan dan diterima rakyat,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Dr Taufiq berkata, fokus utamanya adalah memperkukuh jentera organisasi PKR Sungai Petani agar lebih tersusun dan bersedia menghadapi cabaran politik mendatang.

“Perjuangan kita belum selesai. Kita mesti pertahankan kemenangan di Parlimen Sungai Petani, DUN Bakar Arang dan DUN Sidam, serta merampas semula DUN Pantai Merdeka yang jatuh ke tangan lawan.

“Justeru, dengan penuh rendah hati, saya menawarkan diri untuk bertanding sebagai Ketua Cabang PKR Sungai Petani. Saya menyeru seluruh anggota akar umbi agar bersama-sama membina sebuah pasukan besar yang kukuh dan utuh dalam menghadapi PRU16 nanti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!