Candu digital yang menggoda manusia

Kebergantungan melampau kepada AI boleh menghakis kreativiti dan daya fikir manusia. Gambar hiasan 123rf
Kebergantungan melampau kepada AI boleh menghakis kreativiti dan daya fikir manusia. Gambar hiasan 123rf
A
A
A

SEJAK teknologi kecerdasan buatan (AI) makin berkembang, Merak Jalanan perhatikan hidup kita jadi semakin mudah.

Nak buat kerja? Minta bantuan chatbot. Nak tulis artikel? Ada aplikasi penulisan automatik. Malah nak cantikkan gambar pun, serahkan saja pada AI. Tapi di sebalik semua kemudahan ini, hati-hati ada perangkap licik menanti!

Strateginya mudah: mula-mula beri percuma, lama-lama minta bayaran. Macam candu digital, mula cuba suka-suka, akhirnya jadi ketagih.

Kita pun tak sedar, makin lama makin bergantung. Bila dah tak boleh lepas, waktu itulah syarikat mula perkenalkan pelan langganan berbayar. Yang dulu percuma, tiba-tiba jadi berbayar. Kalau tak bayar, ciri-ciri penting mula hilang satu persatu.

Cuba tengok aplikasi penulisan AI. Mula-mula boleh guna tanpa had, lepas sebulan terus kena bayar kalau nak terus guna ciri penuh.

Sama juga dengan aplikasi penyuntingan gambar — masa mula-mula boleh 'edit' percuma, bila dah biasa guna, baru tahu nak simpan gambar resolusi tinggi kena langgan dulu.

Akhirnya, kita jadi mangsa ketagihan digital. Dah terbiasa dengan kemudahan, rasa tak boleh buat kerja tanpa bantuan AI. Sama macam orang ketagih candu, sanggup bayar mahal asalkan dapat terus guna.

Jadi, sebelum terjebak lebih jauh, biasakan diri tanpa bergantung sepenuhnya kepada AI.

Kebergantungan melampau kepada AI juga boleh menghakis kreativiti dan daya fikir manusia. Jika semua tugasan boleh diselesaikan dengan menekan butang, di manakah ruang untuk kita berlatih berfikir secara kritis dan berinovasi?

Artikel Berkaitan:

Ilmu yang dulunya dipelajari dengan usaha kini semakin dipermudahkan sehingga manusia menjadi terlalu selesa. Lambat laun, masyarakat akan menjadi pasif dan hanya menunggu penyelesaian daripada mesin, bukannya berusaha mencari jalan sendiri.

Oleh itu, seimbangkan penggunaan teknologi dengan kebolehan sendiri agar kita tidak kehilangan kemahiran penting dalam kehidupan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!