Gelombang kedua banjir: APM pantau media sosial mangsa terperangkap minta bantuan
ALOR SETAR - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan melakukan pemantauan di media sosial mengenai situasi semasa di kawasan banjir bagi memastikan kerja menyelamat dapat dijalankan dengan segera.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, tindakan itu sebagai persediaan menghadapi gelombang kedua selepas beberapa kawasan yang dilanda banjir sebelum ini dijangka sekali lagi dinaiki air.
Ia susulan amaran hujan berterusan dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bermula Ahad hingga 11 Disember depan.
Katanya, sebelum ini pernah berlaku di beberapa kawasan mangsa meminta bantuan melalui siaran langsung di media sosial setelah mereka terperangkap.
"Jadi kami akan memastikan kesahihan perkara itu dan bertindak segera. Namun dalam masa sama, kami juga berharap agar semua mangsa segera berpindah apabila diarahkan dan sentiasa patuh dengan arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan perkara tidak diingini," katanya ketika sidang media di Alor Kanchut di sini pada Sabtu.
Menurutnya, penduduk yang terjejas banjir baru-baru ini juga dinasihatkan membuat persediaan awal selain mengambil sikap berhati-hati serta peka dengan keadaan semasa.
"Dalam kejadian banjir sebelum ini, MetMalaysia mengeluarkan amaran tahap jingga tetapi untuk hujan berterusan bermula esok, amaran dikeluarkan hanya pada tahap waspada. Itu bermakna, situasinya mungkin tidak seburuk seperti sebelum ini.
"Walau bagaimanapun, semua pihak perlu mengambil sikap berhati-hati dan bersedia dengan segala kemungkinan,” katanya.
Jelasnya, ketika ini, risiko banjir dijangkakan berlaku melibatkan dua lembangan sungai iaitu Lembangan Sungai Kedah merangkumi daerah Padang Terap, Kubang Pasu, Pokok Sena dan Kota Setar serta Lembangan Sungai Muda meliputi Sik, Baling, Kulim dan Kuala Muda.
“Semua agensi terlibat telah membuat persiapan rapi termasuk menilai semula pusat pemindahan sementara yang sebelum ini turut terjejas banjir seperti di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah.
“PPS berkenaan mungkin tidak lagi akan digunakan dan digantikan dengan PPS lain yang lebih selesa untuk mangsa-mangsa banjir,”katanya.
Sementara itu mengenai situasi terkini banjir di Kedah, Muhammad Suhaimi berkata, masih terdapat dua daerah yang terjejas banjir iaitu Kubang Pasu dan Kota Setar.
“Ia melibatkan 14 PPS yang memberikan pelindungan kepada 566 keluarga serta 1,856 mangsa.
"Beberapa kawasan masih dilanda banjir temenung dan kami difahamkan pihak JPS sedang bertungkus-lumus untuk mengalirkan banjir tersebut ke kawasan lain," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!