Debat Saravanan-Zamri: Pastikan kerukunan warga lebih kukuh, risalah Islam tak tercemar

Saravanan, Muhammad Zamri (Gambar kecil: Amidi)
Saravanan, Muhammad Zamri (Gambar kecil: Amidi)
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan dan pendakwah bebas, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu perlu bertanggungjawab sekiranya kerukunan masyarakat menjadi lebih buruk atau hubungan kaum semakin panas sehingga hilang keharmonian antara dua bangsa serta agama.

Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama (JPPA) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Amidi Abdul Manan berkata, ia kerana episod cabar-mencabar antara Saravanan dan Muhammad Zamri dilihat semakin memuncak, bahkan kesungguhan kedua-dua pihak menampakkan seolah-olah tiada ruang untuk berpatah balik.

Menurut ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR itu, Saravanan selaku tokoh politik bertanggungjawab memacu negara ke arah kestabilan, bukannya memecah-belahkan rakyat dan Muhammad Zamri sebagai pendakwah perlu memelihara prinsip dakwah seutuhnya.

"Dalam dakwah 'mujadalah' (berbahas) memang dibenarkan, tetapi terkait kalimah 'ahsan' (terbaik) iaitu kaedah dan natijah perbahasan. Natijah ini juga kembali kepada 'hikmah' dakwah itu sendiri.

"Jika natijahnya nanti lebih menjurus keburukan atau memesongkan erti risalah Islam sebenar, maka ia jauh daripada hikmah dakwah. Kita tidak mahu situasi 'menang jadi arang, kalah jadi abu' yang menyukarkan lagi usaha pengukuhan kestabilan politik dan perpaduan rakyat.⁠

"Pihak yang menjadi punca kekeruhan ini telah pun meminta maaf bagi menjernihkan suasana. Tindakan undang-undang juga sedang diteliti," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Pada Jumaat, Saravanan dilapor menetapkan tarikh debat bersama Muhammad Zamri pada 23 Mac ini susulan kenyataan kontroversi pendakwah berkenaan membandingkan pembawa kavadi ketika sambutan Thaipusam dengan individu yang dirasuk atau mabuk.

Tambah ahli Parlimen Tapah itu, Muhammad Zamri bebas memilih mana-mana lokasi di ibu kota untuk dijadikan acara debat tersebut.

Terbaharu, Muhammad Zamri menyahut cabaran untuk berdialog secara terbuka dengan Saravanan dan berharap ia dapat dilaksanakan secara aman serta membuka minda masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Isu terbabit mulai timbul apabila tiga penyampai radio Era FM iaitu Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir didakwa mempersenda tarian kavadi Hindu dalam satu video pendek sehingga mencetuskan kontroversi.

Sementara itu, Amidi memaklumkan, pihaknya memberi amaran kepada Saravanan dan Muhammad Zamri bagi memastikan perdebatan atau dialog terbuka yang bakal diadakan memberi kesan pengukuhan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

⁠"Jika sebaliknya berlaku, kedua-duanya mesti memikul tanggungjawab untuk memulihkan keharmonian antara kaum di negara ini," ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!