Parlimen tidak bubar, PM baharu akan dilantik: Penganalisis

Situasi pekarangan Istana Negara selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah petang semalam. - Foto Bernama Gambar kecil: Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani - Foto Rosli Talib
Situasi pekarangan Istana Negara selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah petang semalam. - Foto Bernama Gambar kecil: Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani - Foto Rosli Talib
A
A
A

SHAH ALAM - Mungkin tidak berlaku pembubaran Parlimen apabila Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menggunakan kebijaksanaan baginda untuk memutuskan pelantikan Perdana Menteri baharu.

Keputusan Seri Paduka akan dibuat berdasarkan jumlah sokongan majoriti Ahli Parlimen diterima calon dinamakan oleh parti dari blok Muafakat Nasional, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Warisan Sabah (Warisan), PH serta blok bebas sebagai Perdana Menteri.

Bagaimanapun, jumlah calon perdana menteri dinamakan ahli Parlimen berasaskan parti pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) masih tidak dapat dipastikan lebih daripada dua individu.

Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani yakin 222 ahli Parlimen tidak akan menamakan lebih daripada dua calon Perdana Menteri kerana tindakan itu dijangka menyukarkan peluang calon menerima sokongan majoriti.

Beliau juga percaya hanya dua nama melibatkan Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sahaja dicalonkan oleh ahli Parlimen bagi menyelesaikan pembentukan kerajaan baharu.

"Sudah pasti Seri Paduka akan mengumumkan calon Perdana Menteri yang mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen mencukupi dengan bentuk kerajaan baharu.

"Bagaimana kerajaan terbentuk akan ditentukan Perdana Menteri baharu berkenaan termasuk keperluan memanggil parti bukan menyokong beliau untuk membentuk kerajaan bersama," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Bagaimanapun, Dr Mohd Azizuddin menegaskan sekiranya kedua-dua calon Perdana Menteri tidak cukup majoriti, Seri Paduka boleh memanggil dua pemimpin terbabit untuk berbincang secara tertutup sama ada mereka boleh bergabung membentuk kerajaan atau sebaliknya.

Artikel Berkaitan:

Melalui kaedah ini, Seri Paduka akan berperanan sebagai mediator kepada kedua-dua tokoh pemimpin bagi menyelesaikan masalah pembentukan kerajaan baharu secara tertutup dan penuh harmoni.

"Sekiranya peranan Seri Paduka sebagai mediator juga tidak mampu menyelesaikan masalah, jalan terakhir adalah menggunakan bidang kuasanya sebagai ketua negara untuk membubarkan Parlimen," katanya.

Mohd Azizuddin turut percaya tren pengundian menyokong calon Perdana Menteri tidak akan berdasarkan pengundian berbentuk blok parti sebaliknya atas budi bicara setiap Ahli Parlimen itu sendiri.

"Memandangkan undi adalah rahsia, tidak semestinya ahli Parlimen sesuatu parti akan menyokong calon perdana menteri pilihan parti itu.

"Saya fikir kejutan mungkin berlaku akan berlaku. Dengan keputusan parti-parti dalam Muafakat Nasional tidak menamakan calon perdana menteri dan mengesyorkan pembubaran Parlimen, saingan antara Dr Mahathir dan Anwar pasti bertambah sengit ketika ini," katanya

Berdasarkan perkembangan semasa, Mohd Azizuddin turut meramalkan Anwar mempunyai kelebihan menjadi calon perdana menteri berbanding Dr Mahathir berdasarkan kiraan kasar mengikut parti-parti yang sudah menyatakan sokongan terhadap calon pilihan masing-masing," katanya.

Semalam, sesi temuduga keseluruhan 221 ahli Parlimen seluruh negara oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menentukan pemilihan calon Perdana Menteri kelapan akhirnya berjaya diselesaikan.

Hal itu kerana baki 131 Ahli Parlimen daripada PH dan Warisan berjaya mengharungi temuduga yang dilakukan secara peribadi bersama Seri Paduka sambil disaksikan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Temuduga itu turut dijalankan selama tiga minit bagi setiap ahli Parlimen dan dilakukan secara berperingkat.

Difahamkan, kesemua ahli Parlimen tersebut perlu mengisi borang mempersembahkan nama seorang pemimpin sebagai calon perdana menteri kelapan atau memilih untuk pembubaran Parlimen.

Bagaimanapun, temuduga itu tidak melibatkan Dr Mahathir kerana beliau terlebih dahulu menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Ahad.

Semalam, temuduga tersebut membabitkan 90 ahli Parlimen yang terdiri daripada Barisan Nasional (BN), Pas dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta Bebas.

Temuduga hari ini dijalankan bermula jam 10 pagi sehingga 4.30 petang, manakala fasa awal yang diadakan semalam diadakan bermula jam 2.30 petang hingga 6.30 petang.

Sementara itu tengah hari semalam ketika mencemar duli bertemu petugas media di Pintu 2 Istana Negara, Yang di-Pertuan Agong menitahkan rakyat agar bersabar sementara Seri Paduka menyempurnakan tanggungjawab mencari penyelesaian terbaik untuk negara.

Lebih menarik, Seri Paduka turut berkenan membelanjakan bungkusan makanan segera kepada pengamal media sebagai menghargai usaha mereka yang tidak mengenal penat lelah melaporkan perkembangan terkini krisis politik negara.

Isnin lalu, Dr Mahathir menggemparkan rakyat negara ini apabila mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri hari ini.

Keputusan peletakan jawatan beliau diperkenankan Seri Paduka, bagaimanapun Dr Mahathir kemudiannya dilantik sebagai Perdana Menteri Interim mengikut Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan itu bagi membolehkan Dr Mahathir menguruskan pentadbiran negara sehingga Perdana Menteri dan anggota Kabinet baharu dilantik.

ARTIKEL BERKAITAN Dr Mahathir mahu bentuk kerajaan tanpa parti politik

Debaran penantian keputusan Agong

Baki 132 Ahli Parlimen menghadap Agong hari ini

Masa depan negara ditentukan rakyat bukan elit politik

Fakta penting berhubung Perdana Menteri Interim

Jangan percaya spekulasi saya tinggalkan UMNO: Hishammuddin