X

Kindly register in order to view this article
!

Debaran penantian keputusan Agong

Istana Negara kembali menjadi tumpuan susulan perkembangan politik negara yang menyaksikan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan.
A
A

SHAH ALAM - Drama peralihan kerajaan Malaysia kini memasuki episod baharu apabila Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan 221 ahli Parlimen menghadap baginda untuk ditemu ramah seorang demi seorang.

Temu ramah itu dilakukan semalam dan hari ini secara berperingkat bagi mengenal pasti jumlah ahli Parlimen yang memberi sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan.

Titah Seri Paduka itu sekali gus memuncakkan debaran rakyat Malaysia yang kini tidak sabar menantikan berita pembentukan kerajaan baharu yang berlarutan sejak tiga hari lalu.

Perkembangan politik ini susulan keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kelmarin setelah pakatan itu kehilangan majoriti mudah kerusi Parlimen di Dewan Rakyat.

Berdasarkan kedudukan komposisi kerusi ahli Parlimen, secara logiknya pembentukan penjajaran gabungan politik baharu ‘Perikatan Nasional’ sudah mencukupi untuk mendapat majoriti mudah.

Gabungan parti politik yang mungkin melibatkan UMNO, Pas, Bersatu, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan kumpulan ahli Parlimen menyokong bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dikhabarkan memperoleh sekurang-kurangnya 121 sokongan ahli Parlimen.

Bahkan ada sumber memaklumkan gabungan Perikatan Nasional itu sudah memiliki angka 130 ahli Parlimen yang digembar-gemburkan berjaya diperoleh melalui tandatangan akuan bersumpah (SD) menyokong kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, Dr Mahathir didakwa tidak bersetuju dengan cadangan pembentukan kerajaan pintu belakang yang diusahakan pihak tertentu.

Rentetan drama terbaharu peralihan kuasa membabitkan peranan Agong, sudah pastinya ramai tertanya-tanya berkenaan keperluan Seri Paduka melakukan tindakan menyelidiki pendirian keseluruhan 221 ahli Parlimen bagi menentukan tokoh pemimpin yang menjadi Perdana Menteri.

Normal

Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, keputusan terbaharu diputuskan Seri Paduka itu bagi menyelesaikan polemik peralihan kerajaan baharu adalah perkara normal.

Menurutnya, keputusan itu merupakan kali kedua berlaku dalam era pentadbiran kerajaan Malaysia dalam tempoh sedekad.

“Keputusan Seri Paduka sebenarnya mengambil langkah penyelesaian peristiwa penukaran Menteri Besar Kedah pada tahun 2015 apabila penyandangnya ketika itu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir ditukarkan kepada penggantinya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

“Meskipun gerakan penukaran tidak membabitkan pertukaran kerajaan negeri, pertimbangan diambil Jemaah Pemangku Sultan Kedah adalah lebih kurang sama dengan pertimbangan diambil Seri Paduka ketika ini,” katanya.

Ditanya faktor-faktor menyebabkan pertimbangan kaedah temu bual diguna pakai Seri Paduka ketika ini, Mohd Azizuddin tidak menolak kemungkinan ia disebabkan terdapat pertindihan sokongan ahli Parlimen dalam dua tandatangan akuan bersumpah (SD) menyokong tokoh pemimpin berbeza.

“Berdasarkan desas-desus terkini, dipercayai terdapat dua pihak mengumpul SD iaitu satu daripada pihak menyokong kepimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri, manakala satu lagi terdiri daripada pihak menyokong pembentukan Perikatan Nasional.

“Jadi, bagi memastikan Seri Paduka membuat pertimbangan bijaksana, kesemua ahli Parlimen perlu ditemu ramah dan diminta membuat keputusan tanpa dipengaruhi mana-mana pihak,” katanya.Perbezaan

Dalam pada itu, Felo Penyelidik Institut Analisis Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Achmad Dzariean Mohd Nadzri berkata, keputusan perlantikan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Interim adalah senario berbeza dengan pembentukan kerajaan interim selepas pembubaran Dewan Rakyat bagi memberi laluan PRU.

Beliau berkata, berbeza dengan kerajaan interim bagi tujuan PRU, Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Interim mempunyai kuasa penuh terhadap kementerian yang ada.

“Pada ketika ini, kuasa ada pada menteri dan timbalan menteri sesebuah kementerian diserahkan kepada Ketua Setiausaha kementerian terbabit.

“Kerajaan interim bagi pelaksanaan PRU pula hanya bersikap caretaker di mana menteri dan timbalan menteri hanya boleh meneruskan dasar atau polisi ditetapkan kerajaan sebelum terbubarnya Parlimen,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai teka-teki pelancaran pakej rangsangan ekonomi negara oleh bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bagi menghadapi kesan negatif ekonomi akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19), katanya, ia dibimbangi tertangguh namun Dr Mahathir sebagai seorang Perdana Menteri Interim mempunyai kuasa penuh untuk melaksanakannya.

Ekonomi

Pakar ekonomi daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali pula berpandangan, usaha menyelesaikan polemik peralihan kerajaan perlu disegerakan bagi mengelakkan negara dilanda tsunami ekonomi tidak terjangka.

Menurutnya, kegagalan negara mengumumkan kepimpinan baharu juga mampu memburukkan lagi prestasi ekonomi yang telah mencatat pertumbuhan 4.3 peratus pada tahun 2019, terendah dalam tempoh 10 tahun.

“Bagi saya, inisiatif pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi berkesan perlu disegerakan dan dirancang rapi kerana kesan kelembapan ekonomi global ditambah wabak Covid-19 mampu meranapkan ekonomi negara sekiranya tidak ditangani sebaiknya,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus