Jangan percaya spekulasi saya tinggalkan UMNO: Hishammuddin

Hishammuddin Tun Hussein
Hishammuddin Tun Hussein
A
A
A

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein meminta rakyat negara ini tidak mempercayai dakwaan beliau bakal meninggalkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Melalui satu hantaran di laman sosial peribadinya, Hishammuddin yang juga bekas Naib Presiden UMNO menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan akan meninggalkan UMNO dan Barisan Nasional.

"Jangan sesekali percaya spekulasi yang disebar sesetengah pihak di luar sana," katanya malam tadi.

Hishammuddin berkata, kesetiaannya tidak berbelah bahagi kepada UMNO dan BN dan akan terus bersama parti itu.

ARTIKEL BERKAITAN: UMNO, Pas tarik balik sokong PM, syor bubar Parlimen

Menurutnya, pendirian itu adalah konsisten sejak dahulu lagi.

"Dan hari ini saya ulang sekali lagi, kesetiaan saya tidak berbelah bahagi. Saya tetap bersama UMNO dan Barisan Nasional,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Hishammudin menjadi tumpuan apabila nama beliau dikaitkan sebagai antara pemimpin yang mencetuskan usaha pembentukan kerajaan pakatan gabungan baharu dipanggil 'Perikatan Nasional'.

Usaha itu dikatakan digerakkan bersama bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, namun dinafikan mereka.

Bermula dengan spekulasi pengumpulan tandatangan akuan bersumpah (SD) didakwa mencapai 130 Ahli Parlimen, usaha pembentukan Perikatan Nasional yang bakal mengenepikan peranan parti-parti Pakatan Harapan (PH) hampir berjaya apabila kerajaan PH hilang majoriti setelah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) serta kumpulan bekas Ahli Parlimen menyokong Mohamed Azmin mengumumkan keluar dari pakatan itu.

Bagaimanapun, peluang kerajaan Perikatan Nasional ditubuhkan tampak semakin tipis apabila Dr Mahathir dikatakan tidak bersetuju dengan idea itu dan lebih berminat menubuhkan kerajaan perpaduan tanpa pembangkang.