Tragedi Ramadan, tujuh rumah teres dua tingkat terbakar

KEMAMAN - Tujuh unit rumah teres dua tingkat di Taman Alam Perdana, Chukai di sini terbakar dalam kejadian awal pagi Sabtu.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chukai, Mohamad Hanif Che Khalid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.55 pagi sebelum jentera dari BBP Chukai dan BBP Kemaman tiba di lokasi kejadian dalam tempoh kurang 10 minit.
"Kebakaran mengakibatkan kemusnahan antara lima hingga 85 peratus bagi setiap unit rumah.
"Terdapat seorang lelaki dewasa cedera di tangan akibat kejadian itu dan mangsa telah dihantar ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Mohamad Hanif berkata, operasi pemadaman melibatkan 25 anggota serta beberapa jentera termasuk Fire Rescue Tender (FRT), jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan kenderaan utiliti.
"Api berjaya dikawal pada jam 8.57 pagi dan kerja-kerja 'overhaul' masih diteruskan.
"Anggota bomba menggunakan dua aliran hose sepanjang 300 kaki, pancutan air tangki jentera serta pili bomba berhampiran untuk mengawal kebakaran," jelas beliau.
Menurutnya, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
