Sindiket sewa rumah teres jadi tempat sorok PATI

KUALA SELANGOR - Sebuah rumah teres di Puncak Alam yang disewa sebagai lokasi transit oleh sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dibongkar pada Rabu.
Tindakan itu dilaksanakan menerusi Op Pintas oleh sepasukan anggota Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman hasil maklumat dan risikan.
Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, serbuan pada jam 7 petang berjaya menahan 46 warga Indonesia, termasuk 12 wanita, berusia antara 21 hingga 57 tahun.
Katanya, modus operandi sindiket adalah menggunakan rumah di pinggiran kota sebagai transit bagi migran yang ingin keluar dari Malaysia melalui laluan yang tidak diwartakan.
"Sindiket Geng Herman menempatkan migran di rumah transit terbabit sebelum mereka dihantar ke kawasan pantai untuk menaiki bot yang akan membawa mereka ke destinasi yang dituju.
"Soal siasat awal mendapati bayaran yang dikenakan untuk masuk atau keluar dari Malaysia adalah antara RM1,400 hingga RM1,800 dan dibayar kepada tekong darat," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Beliau berkata, kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor untuk tindakan lanjut.
Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta ATIPSOM 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 15(4) akta yang sama.
Jelas beliau, Op Pintas memfokuskan elemen kesalahan penyeludupan migran.
"Dipercayai migran ingin keluar dari Malaysia untuk pulang ke Indonesia melalui jalan laut di perairan pantai barat Semenanjung," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
