Rumah rakit Tasik Kenyir terbakar, pengusaha rugi RM3 juta

Seorang pengusaha rumah rakit di Tasik Kenyir, Kuala Berang rugi kira-kira RM3 juta selepas penginapan berkenaan musnah dalam kebakaran malam tadi.
Seorang pengusaha rumah rakit di Tasik Kenyir, Kuala Berang rugi kira-kira RM3 juta selepas penginapan berkenaan musnah dalam kebakaran malam tadi.
A
A
A

KUALA BERANG - Seorang pengusaha rumah rakit di Tasik Kenyir, di sini rugi kira-kira RM3 juta selepas penginapan berkenaan musnah dalam kebakaran malam tadi.

Turut musnah, tujuh jet ski dan tiga bot laju bernilai ratusan ribu ringgit.

Shaheezam Abu Hasan, 47, berkata, ketika kejadian, dia berada di Kuala Lumpur manakala empat pekerjanya juga sedang bercuti bagi menyambut hari pertama Ramadan.

Beliau berkata, kejadian hanya disedari seorang pemandu bot yang kebetulan sedang meronda di Tasik Kenyir.

"Selepas menerima panggilan kira-kira 10 malam tadi, saya terus bergegas pulang dan sampai di sini (Tasik Kenyir) pada 4 pagi tadi. Tak tergambar hibanya hati melihat rumah rakit yang saya usahakan lapan tahun lepas dengan wang titik peluh sendiri musnah sekelip mata," katanya ketika dihubungi hari ini.

Shaheezam berkata, walaupun sedih beliau reda dan turut bersyukur kerana kebakaran itu tidak membabitkan kemalangan jiwa.

"Tiada apa yang dapat diselamatkan. Semua tinggal rangka sahaja tetapi nasib baik juga pekerja tak ada di sana. Saya benarkan mereka cuti dan pulang 4 petang semalam untuk berbuka puasa bersama keluarga," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang Mohd Anuar Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 9.54 malam.

Beliau berkata, sebaik menerima laporan, dua jentera dengan kekuatan tujuh anggota dikejarkan ke lokasi.

Artikel Berkaitan:

"Ketika bomba tiba, api sedang marak dan rumah rakit yang mempunyai 14 bilik itu sudah musnah sepenuhnya. Punca sebenar masih dalam siasatan," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!