Peniaga terjejas ribut terbangkan 25 khemah bazar Ramadan

KOTA BHARU - Kira-kira 40 peniaga bazar Ramadan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini terjejas selepas 25 daripada 60 khemah mereka runtuh diterbangkan angin dalam kejadian hujan lebat dan ribut awal pagi Sabtu.
Kebanyakan mereka menyedari kejadian berkenaan melalui grup WhatsApp yang dimaklumkan oleh seorang pengawal keselamatan ketika memantau bazar berkenaan.
Peniaga pelbagai jenis nasi ayam, Nor Syazani Ikhwan Nor Zhahrulshah, 25, memberitahu dia menyedari kejadian itu kira-kira jam 5.30 pagi selepas siap bersahur.
Nor Syazani Ikhwan mengakui terkejut apabila melihat khemahnya terbalik selepas kaki besi patah disebabkan ribut yang terlalu kuat.

"Saya dimaklumkan oleh rakan yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di sini. Ketika itu dia sedang memeriksa kawasan bazar sebelum tiba-tiba angin kencang serta hujan lebat yang menumbangkan beberapa khemah," katanya.
Bagaimanapun, dia bersyukur kerana tidak mengalami banyak kerugian kerana khemah yang runtuh tidak menghempap peralatan perniagaannya.
Menurutnya, hujan lebat menyebabkan air bertakung di bahagian sengkuap hias (awning) khemah sebelum tiang besinya patah.
Seorang lagi peniaga, Rohaiza Hanafi, 42, pula berkata, dia tidak menyangka kejadian ribut awal pagi Sabtu itu menyebabkan khemah gerai pencuci mulutnya yang seluas 0.9X1.8 meter persegi terbalik.
"Saya mendapat tahu kejadian berlaku kira-kira jam 4 pagi dan bertolak dari rumah di Kampung Dewan Beta pada jam 10 pagi untuk mengemas peralatan jualan.
"Alhamdulillah tiada barang yang rosak teruk tetapi belum dapat dipastikan sama ada kami boleh berniaga semula atau sebaliknya," katanya.

Pekerja di gerai kebab, Azwan Mohamad, 38, berharap dia dapat kembali berniaga dalam tempoh terdekat dan pihak pengurusan perlu melakukan pembaikan termasuk khemah serta pendawaian.
"Saya dimaklumkan keadaan bazar melalui pemilik gerai, Saliki Jailani, 38, kira-kira jam 7 pagi dan terus bergegas untuk melihat keadaan di sini," katanya.
Sementara itu, penganjur utama bazar Ramadan, Tun Ahmad Luqman Tun Mohamad berkata, musibah yang tidak diduga itu berlaku kira-kira jam 3 pagi selepas ribut dan hujan lebat.
Beliau berkata, pihaknya berusaha membaiki kerosakkan secepat mungkin dan melakukan yang terbaik bagi membolehkan mereka dapat kembali berniaga.
"Saya dihubungi pengawal keselamatan yang memaklumkan beberapa khemah rosak dan terbalik awal pagi ini," katanya.
Tun Ahmad Luqman berharap pihaknya dapat membaik pulih semula semua khemah yang rosak dan kerosakan pendawaian dalam masa terdekat.
.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
