Bazar Ramadan rosak dilanda ribut kembali beroperasi

Keadaan bazar Ramadan yang sudah dibaik pulih awal pagi Ahad selepas dilanda ribut dan hujan lebat.
Keadaan bazar Ramadan yang sudah dibaik pulih awal pagi Ahad selepas dilanda ribut dan hujan lebat.
A
A
A

KOTA BHARU - Bazar Ramadan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV sudah boleh beroperasi semula selepas penganjur membaik pulih semua kerosakan akibat ribut dan hujan lebat awal Sabtu.

Penganjur utama bazar Ramadan, Tun Ahmad Luqman Tun Mohamad bersyukur kerana semua baik pulih dilakukan dalam tempoh kurang 24 jam.

Menurut beliau, peniaga juga boleh membuat persiapan awal untuk memulakan perniagaan pada petang ini.

"Alhamdulillah janji kami sebagai penganjur kepada semua peniaga dan pelanggan dapat ditunaikan kerana siap dibaik pulih lebih awal," katanya.

Tun Ahmad Luqman memberitahu, sebagai penganjur pihaknya berusaha memastikan baik pulih dilakukan dengan segera dan memastikan keselamatan untuk semua pihak.

"Kami juga meminta maaf kepada peniaga di atas insiden yang berlaku dan berharap pengunjung akan kembali memeriahkan bazar Ramadan hari ini," katanya.

Media sebelum ini melaporkan sebanyak 25 daripada 60 khemah bazar Ramadan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini runtuh akibat hujan lebat dan ribut kuat awal pagi Sabtu.

Kejadian itu turut menjejaskan kira-kira 40 peniaga yang terpaksa mengalihkan peralatan perniagaan mereka.

Kebanyakan peniaga menyedari kejadian melalui grup WhatsApp kumpulan yang dimaklumkan oleh seorang pengawal keselamatan ketika memantau bazar berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Seorang peniaga pelbagai jenis nasi ayam yang terkesan dengan situasi itu, Nor Syazani Ikhwan Nor Zhahrulshah, 25, ketika dihubungi gembira dengan usaha yang dilakukan pihak penganjur.

"Syukur Alhamdulillah, penganjur memaklumkan pada kami kira-kira jam 1 pagi tadi bahawa bazar Ramadan boleh beroperasi semula petang ini," katanya.

Tambahnya, pihak penganjur sebelum ini memberitahu kemungkinan mengambil tempoh antara sehari hingga tiga hari berdasarkan keadaan kerosakan khemah.

"Bagaimanapun kerja-kerja yang dilakukan lebih cepat dan kami boleh mencari rezeki semula," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!