Peguam sahkan video penyampai radio disunting wujud unsur manipulasi, fitnah

SHAH ALAM - Video tular membabitkan tiga penyampai radio yang didakwa mempersendakan satu perayaan agama disahkan telah disunting oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga mencetuskan ketegangan dalam kalangan masyarakat.
Perkara itu disahkan sendiri oleh peguam, Mahmud Jumaat selepas menemui salah orang penyampai radio yang menjelaskan situasi sebenar selepas video terbabit dimuat naik.
Menurutnya, video asal telah disunting sehingga hanya memaparkan sebutan ‘vel,vel’ dan kemudiannya dimanipulasi untuk mencetuskan salah faham khususnya komuniti India.
“Persoalan utama kini timbul, siapakah dalang di sebalik penyuntingan video ini? Tindakan itu dilihat sebagai cubaan untuk membakar sentimen perkauman dengan niat jahat.
“Sila rujuk kembali klip yang dimainkan oleh Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer dan majoriti pempengaruh India di Tiktok.
“Sekiranya kita teliti, video tersebut telah disunting hanya setakat lima saat ketika disebut ‘vel,vel’ sahaja,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Tambah Mahmud, hasil penelitian netizen yang prihatin juga telah menemui klip penuh video berkenaan, membuktikan bahawa tiga penyampai radio berkenaan sebenarnya ketawa disebabkan gelagat salah seorangnya, Azad Jasman meniru tarian masuk gelanggang peninju popular negara, Miki Ghazali.
Beliau menekankan, selain daripada tarian yang serupa dengan gaya masuk gelanggang petinju tersebut ketika salah sebuah perlawanan baru-baru ini, video itu juga ada menyebut nama Miki Ghazali di ruangan kapsyen.
“Saya percaya sekiranya video itu ditayangkan secara penuh daripada awal, memang jelas apa yang dibuat oleh salah seorang penyampai radio semata-mata untuk meniru tarian Miki kerana adanya latar belakang lagu Paqueta.
“Terdapat salah faham dalam kes ini dan ada pihak cuba menganiaya, mengkhianati dan memfitnah ketiga DJ ini,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Mahmud turut berkata, penerangan dibuat ini adalah untuk meredakan ketegangan kaum selain mengingatkan aspek masyarakat majmuk adalah tunjang perpaduan Malaysia.
Beliau menyarankan agar polis menyiasat kes berkenaan bagi membongkar siapakah dalang yang telah menyunting video tular sehingga wujudnya salah faham antara kaum.
“Saya harap penjelasan ini membuktikan bahawa kita semua ditipu dan diperdaya oleh agenda jahat yang cuba memecahbelahkan kita sebagai satu keluarga yang harmoni.
“Kepada polis, daripada siasat tiga DJ ini sebaiknya siasat siapakah dalang yang menyunting video dan menghasut orang ramai terutama kaum India,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


