Persenda agama lain: Nabil, Azad dan Radin digantung tugas

[DIKEMAS KINI] PENYAMPAI segmen 3 Pagi Era iaitu Nabil Ahmad, Azad Jazmin dan Radin digantung tugas buat sementara waktu bagi memberi laluan siasatan dalaman dilakukan berikutan kontroversi mempersendakan agama lain.
Astro Audio dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, para penyampai yang terlibat telah mengakui kesilapan dan mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka.
"Astro Audio melahirkan kekesalan atas satu insiden rakaman video melibatkan penyampai kami, Nabil Ahmad, Azad Jazmin, dan Radin telah dikongsi di platform media sosial Era.

"Kami dengan tulus ikhlas memohon maaf kerana telah menyakiti hati dan mengecewakan hati pihak terlibat.
"Kami juga memandang serius perkara ini dan selepas pertimbangan yang teliti, kami memutuskan untuk menggantung tugas dua kakitangan dan ketiga-tiga penyampai tersebut dari ke udara hingga diberitahu kelak sementara kami menjalankan siasatan dalaman ke atas insiden ini," ujar pihak terbabit.
Tambah syarikat swasta berkenaan, Astro Audio sekali lagi melahirkan kekesalan di atas insiden yang telah menyakiti hati dan mengundang kekecewaan pelbagai pihak melibatkan tiga penyampai radio ERA.
"Pihak kami akan terus mengadakan siasatan dalaman terperinci dan lanjutan itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengurusan tertinggi kami telah mengadakan perjumpaan bersama pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) awal hari ini.
"Kami amat menghargai maklum balas, teguran dan nasihat dari pelbagai pihak dan akan sentiasa memastikan kandungan disiarkan mematuhi kesemua garis panduan dan keperluan ditetapkan.
"Terima kasih di atas sokongan dan keprihatinan anda," jelas kenyataan tersebut.
Terdahulu, penyampai radio segmen 3 Pagi Era tampil memohon maaf berikutan penghasilan video kontroversi dilihat mempersendakan tarian kavadi Hindu.
Tarian sinonim dengan upacara suci ketika Thaipusam itu dilakukan salah seorang penyampai sambil menyebut 'Vel Vel' disusuli gelak tawa.
Video terbabit mencetuskan kemarahan Timbalan Presiden MIC yang juga Ahli Parlimen Tapah, M Saravanan yang menuntut permohonan maaf terbuka termasuk menyeru kerajaan mengambil tindakan terhadap stesen radio Era FM.
Malah Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, pihaknya telah menerima aduan daripada pelbagai pihak berhubung tindakan kakitangan sebuah stesen radio.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


