Pelawak hina Nabi patut dituduh di mahkamah

Laporan Sinar Harian mengenai Harith Iskander serta Cecelia Yap Song masing-masing dikompaun RM10,000 oleh SKMM. Gambar kecil dari kiri: Mohd Ridwan dan Shamsher
Laporan Sinar Harian mengenai Harith Iskander serta Cecelia Yap Song masing-masing dikompaun RM10,000 oleh SKMM. Gambar kecil dari kiri: Mohd Ridwan dan Shamsher
A
A
A

SHAH ALAM - Mana-mana individu yang didakwa melakukan penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW sepatutnya dituduh di mahkamah berbanding hanya dikompaun oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Peguam, Dr Shamsher Singh Thind berpandangan, perbuatan tersebut adalah tindakan serius dan bukan kesalahan bersifat teknikal semata-mata.

“Sebab itu (pengguna media sosial) Cecelia Yap juga disiasat bawah Kanun Keseksaan untuk kesalahan-kesalahan bawah Seksyen 298 dan Seksyen 505(c), dan kesalahan-kesalahan itu tidak boleh dikompaun.

“Dia juga boleh disiasat untuk kesalahan hasutan bawah Seksyen 3(1)(e) Akta Hasutan 1948.

“Sepatutnya Cecelia dituduh di mahkamah supaya dijadikan pengajaran kepada semua,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sebelum ini SKMM dilapor mengenakan kompaun sebanyak RM10,000 setiap seorang terhadap pelawak Harith Iskander dan Cecelia berhubung muat naik kandungan dan komen jelik berkaitan agama Islam di Facebook pada 18 Januari lalu.

Suruhanjaya itu dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, tindakan tersebut dikenakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, berdasarkan peruntukan sebelum pindaan akta yang berkuat kuasa pada 11 Februari 2025.

Shamsher turut menjelaskan, kesalahan dibawah Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 boleh dikompaun menurut Seksyen 243(2) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 2 Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia 2001.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu peguam, Mohd Ridwan Talib pula berpendapat, pendakwaan dibawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 lebih khusus dan spesifik kepada kesalahan yang dilakukan oleh pelawak itu ekoran kenyataan dibuat di platform media sosial.

“Sedangkan pendakwaan dibawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan pula adalah lebih umum kepada sebarang kenyataan yang dibuat dalam bentuk umum.

“Maka ia tidak tidak khusus atau tidak spesifik seperti kenyataan di Facebook,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!