Harith Iskander, Cecelia Yap dikompaun RM10,000

Harith Iskander
Harith Iskander
A
A
A

CYBERJAYA - [DIKEMAS KINI] Pelakon dan pelawak, Harith Iskander serta Cecelia Yap Song masing-masing dikompaun RM10,000 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Ia berkaitan dengan kesalahan memuat naik kandungan dan komen jelik melibatkan agama Islam di Facebook, bulan lalu.

Menerusi kenyataan, SKMM memaklumkan kompaun berkenaan dikeluarkan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berdasarkan peruntukan sebelum pindaan akta yang berkuat kuasa pada 11 Februari 2025.

"Meta telah menurunkan kandungan tersebut dan permohonan penutupan akaun Facebook milik kedua-dua individu terbabit juga telah dibuat.

"Permohonan tersebut kini dalam penelitian dan penilaian pihak Meta," katanya pada Rabu.

Cecelia didakwa menimbulkan kontroversi berhubung hantaran berbaur penghinaan terhadap agama Islam berkaitan isu 'ham' manakala Harith Iskander didakwa memuat naik sekeping gambar menunjukkan segelas kopi dinamakan hamsap kopi berharga RM5.50.

Dalam hantaran itu, pelawak selebriti tersebut menyatakan dia berasa keliru dan imannya tergugat kerana ia mengandungi perkataan 'ham'.

Dalam perkembangan berasingan, SKMM turut memaklumkan pihaknya akan mengemukakan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya pada Khamis berkaitan video mempersendakan agama Hindu yang dimuat naik ke akaun TikTok milik stesen radio Era FM.

Susulan kes tersebut, SKMM telah memanggil pengurusan tertinggi Astro pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

"Satu kertas siasatan dibuka di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, berdasarkan peruntukan selepas pindaan akta," ujar suruhanjaya itu.

SKMM berkata, Notis Niat bagi Penggantungan Lesen turut diserahkan kepada pemegang lesen yang mengendalikan stesen radio Era FM.

"Pemegang lesen diberi tempoh 30 hari untuk mengemukakan maklum balas sebelum sebarang keputusan diambil," katanya.

Terdahulu, video kontroversi yang telah diturunkan dari platform media sosial stesen radio berkenaan didakwa mempersenda tarian kavadi Hindu, upacara suci dilakukan ketika Thaipusam kepada Dewa Murugan.

Ia memaparkan penyampai radio meniru tarian kavadi, sambil menyebut “Vel Vel” disusuli gelak tawa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!