Tiada 'double standard' dalam siasatan kes 3R - Saifuddin

Saifuddin Nasution. Foto Bernama
Saifuddin Nasution. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LANGAT - Siasatan polis membabitkan isu agama, raja dan kaum (3R) dilaksanakan dengan adil tanpa berat sebelah atau 'double standard'.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tanggungjawab polis menerusi Unit Siasatan Jenayah Terkelas ialah menjalankan siasatan terperinci selepas menerima aduan berkaitan isu 3R di negara ini.

"Apabila kertas siasatan kes itu diselesaikan, ia akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bagi pendakwaan di mahkamah.

"Sama ada wujud pertuduhan atau tidak, ia berada di luar kuasa polis selepas diserah kepada TPR.

"Justeru, tidak timbul isu 'double standard' kes itu lambat, kes ini cepat," katanya ketika meninjau sebuah kilang haram memproses sampah elektronik (e-waste) di Telok Panglima Garang di sini pada Khamis.

Tambah Saifuddin, sebarang perbandingan dan tuduhan berkaitan isu 3R tidak mendatangkan sebarang manfaat kepada negara.

"Kalau bercakap mengenai isu itu, maka masing-masing pihak mula membuat sangkaan, bandingan dan pelbagai macam lagi.

"Saya ingin tegaskan bahawa ia tidak membawa apa-apa kebaikan dan masyarakat perlu menggunakan daya pemikiran serta tenaga untuk perkara yang lebih produktif," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh meminta pihak berkuasa menjelaskan perkembangan siasatan kes menghina agama Islam melibatkan Harith Iskander dan Cecilia Yap Song.

Persoalan itu timbul susulan isu tiga penyampai radio 3 Pagi Era yang disiasat berhubung dakwaan mempersenda upacara agama Hindu, baru-baru ini.

Sinar Harian sebelum itu melaporkan Nabil Ahmad, Radin Amir dan Azad Jasmin antara enam individu yang telah memberi keterangan lebih dua jam di Bukit Aman pada Rabu.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima izin Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mengenakan tindakan kompaun RM10,000 terhadap Harith dan Cecelia atas kesalahan memuat naik komen jelik melibatkan agama Islam di Facebook pada 18 Januari lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!