Ibu meraung temui anak perempuan dikerat

ARIZONA, AMERIKA SYARIKAT - Seorang ibu di Arizona meraung setelah menemui mayat anak perempuannya yang berusia 14 tahun dalam keadaan dikerat dan disumbat ke dalam beberapa beg sampah sebelum dibuang di tepi jalan, 18 hari selepas dilaporkan hilang.
Menurut laporan New York Times, pihak berkuasa menemui sisa-sisa mayat, Emily Pike, 14, di dalam beberapa beg sampah besar yang ditinggalkan di tepi sebuah jalan pada 14 Februari, hanya beberapa hari sebelum hari jadinya.
“Dia tidak bersalah... bagi saya, dia masih seperti seorang bayi,” kata ibu Emily, Steff Dosela, kepada media baru-baru ini.
Emily tinggal bersama keluarganya di San Carlos Apache Indian Reservation, di sebuah rumah kelompok di Mesa ketika dia dilaporkan hilang pada 27 Januari.
Remaja itu kali terakhir dilihat masih hidup pada Januari dan pengurus rumah kelompoknya melaporkan kehilangannya.
“Pengurus kesnya datang seminggu kemudian untuk memberitahu saya bahawa dia hilang,” kata Dosela, lapor New York Times.

Mayat Emily ditemui bulan lalu, bagaimanapun pihak berkuasa hanya dapat mengesahkan bahawa ia adalah mayat Emily pada minggu lepas.
Keputusan autopsi menunjukkan bahawa Emily mengalami kesan trauma yang jelas di muka dan kepala.
Menurut Pejabat Sheriff Kaunti Gila, kepala dan badan mangsa ditemui di dalam beg besar, manakala kakinya ditemui di dalam beg yang berasingan. Namun, lengan dan tangan Emily masih belum ditemui.
Menurut ibu mangsa, polis telah mengenal pasti tiga suspek, tetapi nama mereka belum didedahkan kepada umum.
Pihak berkuasa telah mengklasifikasikan kematian remaja itu sebagai insiden pembunuhan dan usaha menjejaki suspek kini giat dijalankan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

