[VIDEO] Penghantar p-hailing didakwa bunuh anak asuhan isteri berusia lima tahun
KUALA LUMPUR - Seorang bapa kepada tiga anak didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan membunuh anak asuhan isterinya, berusia lima tahun lapan bulan di sebuah hotel Isnin lalu.
Penghantar p-hailing, Muhammad Syafiq Daniel Osman, 26, yang memakai baju T berwarna hitam, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Amira Abd Aziz.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Muhammad Shakir Firman Mohammad Firdaus berumur lima tahun lapan bulan, di sebuah bilik hotel di Jalan Ipoh di sini pada jam 1.15 hingga 7.15 pagi, 3 Mac lalu.
Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ravindejit Kaur sementara tertuduh tidak diwakili peguam dan mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 26 Mei depan.

Sementara itu, isteri tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas satu pertuduhan menganiaya kanak-kanak itu, minggu lalu.
Nur Nilam Kamaruddin, 26, yang memakai baju berwarna hijau, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Siti Syakirah Mohtarudin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang hamil dua bulan didakwa sebagai penjaga, telah menganiaya sehingga menyebabkan terdapat kecederaan fizikal pada kanak-kanak tersebut di sebuah rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) di Jalan Silang, di sini pada jam 9 malam, 25 Februari lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Joshua Tee Yee Khuan tidak mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin kerana kes itu amat serius lebih-lebih lagi mangsa dilaporkan telah meninggal dunia.
Bagaimanapun, wanita itu yang tidak diwakili peguam, merayu diberi ikat jamin pada kadar minimum kerana perlu menyara anak.
"Dua daripada tiga anak sudah bersekolah dan saya tidak mempunyai pendapatan. Selepas ini, saya akan tinggal dengan ibu kerana suami telah dituduh atas kes membunuh," katanya.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Hakim, Siti Syakirah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan melaporkan diri di balai polis sekali setiap bulan.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes dan lantikan peguam pada 9 April depan.
Sebelum ini sepasang suami isteri ditahan kerana disyaki mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun sehingga menyebabkan kematian di Kepong pada Isnin.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, mangsa dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh pengasuh wanita berusia 25 tahun.
Katanya, hasil bedah siasat menemukan kira-kira 20 kecederaan pada kepala, badan, tangan dan kaki dipercayai akibat hentakan benda tumpul.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dijaga oleh pengasuh terbabit sejak dua bulan lalu dengan bayaran RM800.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

