Cadangan gantung lesen Era FM terlalu keras - Saravanan

Laporan Sinar Harian berkaitan tiga penyampai radio Era FM didakwa mempersenda satu perayaan agama baru-baru ini. (Gambar kecil: Saravanan)
Laporan Sinar Harian berkaitan tiga penyampai radio Era FM didakwa mempersenda satu perayaan agama baru-baru ini. (Gambar kecil: Saravanan)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan menyifatkan cadangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menggantung stesen radio Era FM sebagai tindakan terlalu keras dan tidak adil kepada pekerja lain yang tidak terlibat.

Menurutnya, kesalahan yang dilakukan oleh tiga penyampai radio tidak sepatutnya memberi kesan kepada seluruh kakitangan ERA FM, lebih-lebih lagi selepas pihak stesen berkenaan telah membuat permohonan maaf secara terbuka serta mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat.

“Kita bimbang jika stesen ini digantung, ramai pekerja daripada pelbagai kaum akan terkesan, terutama dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Bagaimanapun, Saravanan menegaskan bahawa kerajaan perlu bertindak tegas terhadap individu yang mencetuskan ketegangan agama di media sosial kerana perkara ini boleh menggugat keharmonian negara.

“Pihak berkuasa termasuk polis dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) perlu mengambil tindakan terhadap golongan pelampau agama yang secara berterusan mengeluarkan kenyataan bersifat provokasi dan menanam bibit perpecahan antara kaum di negara ini,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut menggesa agar tindakan diambil terhadap individu-individu didakwa menghina Islam, sebagaimana tindakan dikenakan ke atas mereka yang memperlekehkan agama Hindu.

“Kita harus konsisten dalam penguatkuasaan undang-undang. Tidak boleh ada sikap pilih kasih dalam isu sensitif berkaitan kaum dan agama. Malaysia adalah negara berbilang kaum dan keharmonian mesti dijaga dengan sebaiknya.

“Ini bukan soal perkauman atau agama tetapi tentang menghormati sesama rakyat Malaysia dan memastikan keamanan negara tidak tergugat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!