RUU Perkhidmatan Parlimen perlu ditambah baik

SHAH ALAM - Rang Undang-undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 yang diluluskan kerajaan pada 6 Mac lalu perlu melalui proses penambahbaikan bagi memastikan pelaksanaannya lebih berkesan.
Rakan Profesional kepada Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) - Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR), Maha Balakrishnan berkata, penggubalan RUU tersebut selepas 33 tahun dimansuhkan merupakan langkah terbaik ke arah reformasi institusi Parlimen.
“Kita mengalu-alukan penggubalan RUU Perkhidmatan Parlimen. Selepas Akta Perkhidmatan Parlimen 1966 dimansuhkan pada 1992, usaha ini membuka tirai baharu bagi memperkukuh institusi Parlimen.
“Namun, terdapat keperluan untuk menambah baik RUU tersebut agar pelaksanaannya lebih efektif,” katanya kepada Sinar Harian.
RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 bertujuan menubuhkan Perkhidmatan Parlimen sebagai satu entiti berasingan daripada perkhidmatan awam.
Ia dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 24 Februari lalu.
Pemansuhan Akta Perkhidmatan Parlimen 1966 sebelum ini menyebabkan Parlimen diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan seorang menteri bertanggungjawab menyelia pentadbiran institusi tersebut.
RUU berkenaan juga dilihat sebagai bukti komitmen Kerajaan Madani dalam melaksanakan reformasi institusi melalui pemisahan kuasa antara eksekutif, legislatif dan kehakiman.
Dalam pada itu, Maha berpandangan, kerajaan telah menyatakan komitmen untuk mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak dalam tempoh dua tahun bagi memastikan akta tersebut dapat dilaksanakan dengan baik.
“Saya berharap akta ini dapat dilaksanakan dengan cekap dan berkesan. Jika terdapat cadangan penambahbaikan, kerajaan perlu melibatkan semua pihak dalam perbincangan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
