Hukum beli, makan makanan dijual pelaku maksiat

PERSOALAN yang sering dibangkitkan pada bulan Ramadan, bolehkah membeli dan memakan makanan yang dijual peniaga yang melakukan maksiat seperti tidak menutup aurat? Foto Bernama
PERSOALAN yang sering dibangkitkan pada bulan Ramadan, bolehkah membeli dan memakan makanan yang dijual peniaga yang melakukan maksiat seperti tidak menutup aurat? Foto Bernama
A
A
A

DALAM menjalankan urusan jual beli seharian, kadang-kadang umat Islam berhadapan dengan pelbagai peniaga termasuklah pelaku maksiat seperti penjual yang tidak menutup aurat selain peniaga bukan Islam.

Persoalannya, apakah dibolehkan berurusan dengan pelaku maksiat dalam jual beli? Apakah makanan yang dimakan nanti akan kurang keberkatannya?

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam menjawab isu ini menjelaskan, dua perkara perlu dilihat ketika bermuamalat dengan pelaku maksiat seperti dijelaskan dalam artikel Irsyad Hukum Khas Ramadan Siri ke-100: Hukum memakan makanan yang dijual oleh pelaku maksiat yang disiarkan melalui laman sesawang rasmi mereka sebelum ini.

Menurutnya, perkara pertama yang perlu dilihat adalah makanan yang dijual peniaga itu merupakan makanan yang halal lagi baik.

“Terdapat banyak dalil syarak dari al-Quran dan as-sunnah yang menunjukkan arahan supaya seseorang Muslim itu memakan makanan yang halal lagi baik,” jelasnya.

BELILAH makanan yang halal lagi baik terutamanya daripada para peniaga Muslim yang menutup aurat dan tidak melakukan maksiat agar keberkatan makanan dapat dikecapi. Foto CANVA
BELILAH makanan yang halal lagi baik terutamanya daripada para peniaga Muslim yang menutup aurat dan tidak melakukan maksiat agar keberkatan makanan dapat dikecapi. Foto CANVA

Firman ALLAH SWT: “Wahai sekalian manusia, makanlah kamu daripada (hasil) yang terdapat di atas muka bumi (makanan) yang halal lagi baik.” (Surah al-Baqarah: 168)

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, Imam At-Tabari ketika mentafsirkan ayat ini berkata: “Wahai sekalian manusia, makanlah kamu semua daripada makanan-makanan yang telah AKU halalkan buat kamu melalui lisan rasul-KU Muhammad dan (juga makanan) yang telah aku anggap baik buat kamu.”

Tambahnya, Imam At-Tabari turut menyatakan definisi tayyib (baik) dengan maksud makanan yang suci dan bersih daripada najis dan keharaman.

“Justeru, dapat kita fahami bahawa menjadi satu kewajipan ke atas seorang muslim itu untuk memakan makanan yang halal lagi baik sepanjang kehidupannya di atas muka bumi,” katanya.

Perkara kedua yang perlu dilihat ialah hukum membeli makanan yang dijual oleh pelaku maksiat, ujarnya.

“Dalam isu ini, nas-nas syarak tidaklah menunjukkan kepada hukumnya secara terperinci melainkan panduan asas dalam pemakanan iaitu hendaklah seseorang itu makan makanan yang halal lagi baik tanpa melihat kepada siapa yang memasak dan menjualnya.

“Isu ini sering kali berbangkit tatkala masuknya bulan Ramadan kerana ada beberapa kenyataan yang menyebut bahawa janganlah kita membeli juadah berbuka puasa daripada para peniaga yang tidak menutup aurat, tidak solat dan perkara maksiat lainnya,” jelasnya lagi.

Walaupun begitu ujarnya, terdapat beberapa pendapat para fuqaha yang menceritakan soal memakan makanan yang dimasak oleh orang bukan Islam.

“Kami menyatakan bahawa tidak menjadi kesalahan bagi seorang Muslim untuk memakan makanan yang dimasak atau disediakan oleh bukan Muslim daripada susu, sayur-sayuran, buah-buahan dan segala macam jenis makanan yang lain kecuali sembelihan mereka.

“Imam Qatadah berkata tidak mengapa (tiada masalah) untuk memakan makanan orang Majusi selain daripada sembelihannya,” jelasnya.

Pendapat sama diutarakan Imam Al-Qurtubi dalam kitab tafsirnya, ujarnya.

“Ini menunjukkan bahawa memakan makanan yang disediakan oleh orang bukan Islam dibolehkan.

PEMAKANAN yang diambil seharian turut mempengaruhi kualiti ibadah seseorang. Foto CANVA
PEMAKANAN yang diambil seharian turut mempengaruhi kualiti ibadah seseorang. Foto CANVA

“Justeru, makanan yang disediakan oleh golongan fasiq atau pelaku maksiat juga adalah boleh untuk dimakan selama mana makanan itu halal lagi baik,” jelasnya.

Sebagai penutup, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyatakan bahawa perbuatan membeli dan memakan juadah yang disediakan oleh para peniaga yang tidak menutup aurat adalah dibolehkan menurut syarak selama mana makanan yang disediakan itu adalah halal lagi tayyib (baik) menurut aspek penyediaan, kebersihan dan juga tempat jualan.

“Namun sekiranya seseorang itu atas dasar waraknya dia dalam menjaga keperibadian dirinya dan memilih untuk tidak membeli makanan dari para peniaga yang mendedahkan aurat, maka ini adalah dibolehkan kepada dirinya tanpa melarang orang lain berbuat begitu bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan masyarakat.

“Syeikh Ali Al-Qari menyatakan ini kerana makanan orang yang bertakwa secara kebiasaannya adalah halal dan akan memberi kesan dalam mendatangkan (amal) ibadah,” hurainya.

Pihaknya juga turut menasihatkan para peniaga di bazar Ramadan agar menjadikan bulan penuh kemuliaan itu sebagai medan mencapai keberkatan dalam perniagaan.

ULAMA menjelaskan tidak mengapa (dibolehkan) untuk membeli makanan daripada peniaga yang melakukan maksiat namun status makanan perlulah halal dan baik. Foto CANVA
ULAMA menjelaskan tidak mengapa (dibolehkan) untuk membeli makanan daripada peniaga yang melakukan maksiat namun status makanan perlulah halal dan baik. Foto CANVA

“Jadilah diri kita sebagai peniaga yang menutup aurat, menjaga solat, jujur dalam menimbang dan menyukat serta menjauhkan diri daripada maksiat sepanjang proses perniagaan dijalankan,” nasihatnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!