Keuzuran yang diharuskan berbuka

KETAHUI jenis keuzuran yang diharuskan oleh syarak untuk berbuka puasa. -Foto: CANVA
KETAHUI jenis keuzuran yang diharuskan oleh syarak untuk berbuka puasa. -Foto: CANVA
A
A
A

KEWAJIPAN berpuasa pada bulan Ramadan tidak boleh dipandang ringan dan ia tetap wajib ditunaikan kecuali mereka yang benar-benar uzur sebagaimana dibenarkan oleh syarak.

Jika tidak, maka ramailah orang yang menggunakan alasan tidak sempat bangun sahur atau sakit pening yang tidak memudaratkan gara-gara enggan berpuasa.

Menurut Jabatan Mufti Negeri Sembilan, terdapat dua jenis keuzuran yang menghalang seseorang daripada berpuasa dan diharuskan berbuka sepertimana dipetik menerusi kitab Manhaj Fiqh asy-Syafi’i.

“Bagi keuzuran yang menghalang Muslim daripada berpuasa adalah apabila didatangi haid atau nifas pada sebahagian waktu siang.

“Satu lagi keuzuran adalah pitam atau gila sepanjang hari. Jika pulih dan siuman walaupun sekejap, dia wajib imsak (menahan diri daripada makan dan minum) bagi sepanjang hari tersebut,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya pada Rabu.

INFOGRAFIK tentang keuzuran yang diharuskan untuk berbuka dan menghalang seseorang untuk berpuasa sebagaimana dikongsikan di laman sosial Facebook Jabatan Mufti Negeri Sembilan.
INFOGRAFIK tentang keuzuran yang diharuskan untuk berbuka dan menghalang seseorang untuk berpuasa sebagaimana dikongsikan di laman sosial Facebook Jabatan Mufti Negeri Sembilan.

Selain itu, jelas Jabatan Mufti Negeri Sembilan, terdapat tiga jenis uzur yang mengharuskan seseorang itu untuk berbuka.

Artikel Berkaitan:

Berikut perinciannya:

1. Penyakit yang memudaratkan pesakit atau menyebabkan penderitaan teruk.

Seseorang yang menderita kesakitan wajib berbuka sekiranya dia bimbang penyakit itu membahayakan dirinya.

SEKIRANYA seseorang mempunyai penyakit yang memudaratkan pesakit atau menyebabkan penderitaan teruk, maka dia diharuskan untuk berbuka puasa. -Foto: CANVA
SEKIRANYA seseorang mempunyai penyakit yang memudaratkan pesakit atau menyebabkan penderitaan teruk, maka dia diharuskan untuk berbuka puasa. -Foto: CANVA

2. Perjalanan yang jauh iaitu tidak kurang daripada 81 kilometer dengan syarat ia merupakan perjalanan yang harus dan berterusan sepanjang hari berkenaan.

Bagaimanapun, bagi seseorang yang berpuasa ketika bermukim, tidak harus berbuka apabila dirinya melakukan perjalanan yang jauh sepanjang hari tersebut.

Ia sebagaimana firman ALLAH SWT: “Maka sesiapa yang sakit atau dalam musafir, maka (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.” (Surah al-Baqarah: 183)

3. Tiada upaya berpuasa.

Ketahuilah bahawa puasa tidak wajib ke atas orang yang tidak berdaya melakukannya disebabkan tua atau menghidap penyakit yang tiada harapan sembuh.

Puasa hanya wajib dilakukan ke atas orang yang mampu melakukannya.

ALLAH SWT berfirman: “Dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.” (Surah al-Baqarah: 183)

INDIVIDU yang melakukan perjalanan yang jauh iaitu tidak kurang daripada 81 kilometer dengan syarat ia merupakan perjalanan yang harus dan berterusan sepanjang hari berkenaan antara keuzuran yang diharuskan untuk berbuka. -Foto: CANVA
INDIVIDU yang melakukan perjalanan yang jauh iaitu tidak kurang daripada 81 kilometer dengan syarat ia merupakan perjalanan yang harus dan berterusan sepanjang hari berkenaan antara keuzuran yang diharuskan untuk berbuka. -Foto: CANVA

Maksud perkataan ‘Dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa membayar fidyah’, Ibnu Abbas menyatakan, ayat itu merupakan rukhsah bagi orang lelaki dan wanita tua yang tidak mampu berpuasa untuk berbuka serta mereka perlu membayar fidyah kepada orang miskin bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan.

Namun begitu, bagi mereka yang diharuskan berbuka, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengingatkan agar tidak makan pada siang hari Ramadan secara terbuka.

Walaupun harus hukumnya mereka yang ada keuzuran untuk tidak berpuasa untuk makan pada waktu siang, tetapi lebih afdal sekiranya ia dilakukan di tempat yang sunyi daripada penglihatan orang ramai.

“Tujuannya bagi menjaga dan memelihara diri kita daripada fitnah dan menyelamatkan orang ramai daripada sangkaan buruk, lalu mereka mendapat dosa,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel Irsyad Hukum Khas Ramadan #80: Orang yang diberi keuzuran makan secara terbuka di siang hari Ramadan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!