Jenayah komersial rekod kerugian lebih RM500 juta dalam tempoh sembilan minggu

Kes jenayah komersial mencatat peningkatan apabila sebanyak 9,431 kertas siasatan dibuka sehingga minggu ke sembilan tahun ini, membabitkan jumlah kerugian mencecah RM501.3 juta. Gambar hiasan
Kes jenayah komersial mencatat peningkatan apabila sebanyak 9,431 kertas siasatan dibuka sehingga minggu ke sembilan tahun ini, membabitkan jumlah kerugian mencecah RM501.3 juta. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kes jenayah komersial mencatat peningkatan apabila sebanyak 9,431 kertas siasatan dibuka sehingga minggu ke sembilan tahun ini, membabitkan jumlah kerugian mencecah RM501.3 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, peningkatan ketara itu menyaksikan pertambahan sebanyak 48 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu, yang merekodkan 6,354 kes dengan kerugian RM458.8 juta.

"Statistik juga menunjukkan peningkatan sembilan peratus dari segi nilai kerugian, sekali gus membuktikan bahawa jenayah komersial, khususnya penipuan dalam talian, masih menjadi ancaman utama kepada masyarakat," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, mengikut analisis pihaknya, penipuan dalam talian terus menjadi penyumbang terbesar kepada jumlah keseluruhan kes jenayah komersial.

“Dalam tempoh sama, sebanyak 8,322 kes berkaitan penipuan dalam talian telah direkodkan, merangkumi 88.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Dari segi nilai kerugian, penipuan dalam talian menyebabkan kerugian sebanyak RM368.7 juta, bersamaan 73.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kerugian yang direkodkan,” katanya.

Beliau berkata, antara modus operandi utama penipuan dalam talian termasuk jenayah telekomunikasi, belian dalam talian, penipuan pelaburan, pinjaman tidak wujud, penipuan e-kewangan dan 'love scam'.

“Jenayah telekomunikasi mencatat jumlah kes tertinggi dengan 3,706 kes, membabitkan kerugian RM91.3 juta.

“Penipuan pelaburan pula menduduki tempat kedua dengan 1,338 kes tetapi merekodkan nilai kerugian terbesar iaitu RM241.6 juta, menunjukkan bahawa kes sebegini sering membabitkan jumlah wang yang besar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, belian dalam talian turut mencatat angka yang tinggi dengan 1,690 kes, membabitkan kerugian sebanyak RM12 juta.

“Sementara itu, kes pinjaman tidak wujud merekodkan 926 kes dengan kerugian RM6.6 juta, manakala penipuan e-kewangan menyaksikan 492 kes dengan jumlah kerugian RM9.6 juta.

“Love Scam yang sering menyasarkan individu mencari pasangan dalam talian, terus menjadi ancaman dengan 170 kes direkodkan, menyebabkan kerugian sebanyak RM7.6 juta,” katanya.

Mengulas mengenai peningkatan kes ini, Ramli menegaskan bahawa pihaknya komited dalam memperkasakan tindakan penguatkuasaan serta meningkatkan kualiti siasatan dalam usaha mengekang jenayah komersial di negara ini.

"Kita akan terus berusaha dalam membanteras jenayah komersial, termasuk memperkukuh kerjasama dengan pelbagai agensi dan meningkatkan kempen kesedaran kepada masyarakat mengenai bahaya penipuan dalam talian,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!