MyDigital ID rekod pendaftaran 1.8 juta, dijangka meningkat pada suku kedua

PUTRAJAYA - Kadar pendaftaran Identiti Digital Malaysia (MyDigital ID) oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dijangka meningkat pada suku kedua tahun ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia susulan strategi prapendaftaran yang akan dilaksanakan ke atas rakyat negara ini yang mencapai usia 12 tahun.
Menurutnya, mesyuarat Majlis Identiti Digital Negara juga telah membincangkan untuk melaksanakan prapendaftaran MyDigital ID terhadap individu yang hadir ke JPN kerana kehilangan Mykad.
"Sejak diluncurkan tahun lepas oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim MyDigital ID merekodkan pendaftaran 1.8 juta.
"Jadi dengan strategi yang diaturkan, kita harap suku kedua tahun ini ada peningkatan bagi membolehkan transaksi menggunakan log masuk tunggal," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Iftar Bersama Pengamal Media, di sini pada Selasa.
JPN telah diberikan peranan sebagai agensi utama pelaksanaan prapendaftaran MyDigital ID, bagi meningkatkan kadar pendaftaran di platform berkenaan.
Perkara itu dipersetujui pada Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) yang dipengerusikan Anwar baru-baru ini.
Disember lalu, media melaporkan Anwar berang dengan kelewatan projek MyDigital ID serta rangkaian kedua 5G sehingga menyebabkan beliau terpaksa melepaskan kemarahan keras dalam satu mesyuarat sebelum itu.
Menurut, pelaksanaan MyDigital ID terlambat setahun, manakala rangkaian 5G kedua pula masih tertangguh kerana rundingan untuk projek itu tidak mendapat respons positif daripada Digital Nasional Bhd (DNB) dan syarikat telekomunikasi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


