Eda Ezrin, suami dan empat rakan bebas tuduhan miliki pil kuda

Eda Ezrin
Eda Ezrin
A
A
A

NARATHIWAT, THAILAND - [DIKEMAS KINI] Penyanyi wanita sohor Kelantan, Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, bersama suami dan empat lagi rakan terlepas daripada penjara selepas dibebaskan daripada tuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda yang ditemukan di dalam sebuah bilik hotel di Golok pada 1 November lalu.

Keputusan itu dibuat oleh dua panel hakim selepas meneliti semua keterangan saksi pendakwaan semasa tiga hari prosiding sebutan semula kes tersebut pada 11, 13 dan 14 Februari lalu.

Hakim menerusi hujah penghakimannya berkata, tiada bukti yang boleh dikaitkan dengan pemilikan 6,059 biji pil kuda itu dengan keenam-enam tertuduh.

Menurutnya, selain itu, rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di sebuah hotel di Sungai Golok di sini juga tidak menunjukkan bahawa mereka membawa masuk kesemua dadah ke dalam bilik.

“Sebaliknya, ada tiga individu lain yang membawa masuk dadah tersebut ke dalam bilik keenam-enam tertuduh,” katanya.

Bagaimanapun, Eda Ezrin, suami, Mohd Affendi Ahmad, 35, bersama, Eridieka Mohd Noor, 33, Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, dihukum penjara enam bulan dan denda 4,000 baht atau RM526 selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah jenis methamphetamine.

Kesemua mereka tidak perlu membayar denda tersebut kerana sudah selesai menjalani tempoh pemenjaraan selama lebih empat bulan dan berkelakuan sangat baik di penjara sepanjang tempoh tahanan reman.

Sementara itu, Eridieka dan Zuhaira turut didenda dengan jumlah yang sama selepas mereka sebelum ini mengaku bersalah atas dua pertuduhan memasuki Thailand secara haram dan tiada dokumen perjalanan atau pasport sah untuk berada di negara ini.

Salah seorang daripada peguam keenam-enam tertuduh, Sufian Abdul Aziz ketika ditemui pemberita berkata, Eda Ezrin, suami dan empat rakannya dibebaskan daripada pertuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda.

Artikel Berkaitan:

Katanya, bagaimanapun, pihak pendakwaan boleh memfailkan rayuan terhadap keputusan itu dalam tempoh sebulan.

“Buat masa ini, keenam-enam anak guam saya masih belum boleh dibenarkan untuk keluar dan perlu berada di dalam penjara sementara menunggu pihak pendakwaan memfailkan rayuan.

“Jika tiada rayuan, mereka akan dibenarkan pulang,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Eda Ezrin, suami dan empat rakannya didakwa atas dua pertuduhan mengambil dadah dan memiliki 6,059 biji pil kuda di Mahkamah Wilayah Narathiwat di sini pada 14 Januari lalu.

Mereka mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah, namun tidak mengaku bersalah atas tuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda di sebuah hotel di Sungai Golok dekat sini.

Semasa prosiding perbicaraan pada 14 Februari lalu, Eda Ezrin memberi keterangan dengan bantuan jurubahasa bahawa terdapat empat individu dikenali sebagai Nabila, Mek Jue, Mek Da dan Sirik masuk ke dalam biliknya sebelum polis melakukan serbuan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!