'Empat individu lain masuk bilik hotel saya sebelum polis serbu' - Eda Ezrin

Eda Ezrin (kanan), suami dan empat lagi rakannya didakwa di Mahkamah Wilayah Narathiwat atas dua kesalahan iaitu mengambil dadah dan memiliki 6,059 biji pil kuda.
Eda Ezrin (kanan), suami dan empat lagi rakannya didakwa di Mahkamah Wilayah Narathiwat atas dua kesalahan iaitu mengambil dadah dan memiliki 6,059 biji pil kuda.
A
A
A

NARATHIWAT, THAILAND - Penyanyi wanita sohor Kelantan, Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, menerusi jurubahasa bebas yang dilantik mahkamah pada Jumaat memberitahu semasa hari kejadian, empat individu lain telah memasuki bilik hotelnya sebelum polis melakukan serbuan.

Katanya, empat individu terbabit dikenalinya sebagai Nabila, Mek Jue, Mek Da dan Sirik.

"Nabila dan Mek Ju telah masuk ke bilik saya kira-kira jam 3 pagi. Selepas berbual sekejap, Mek Ju masuk ke dalam bilik air selama lebih kurang 15 minit.

"Saya lihat Mek Ju ada bawa beg galas warna biru masuk ke dalam bilik air. Selepas 15 minit kemudian Nabila dan Mek Ju telah keluar dan meninggalkan bilik berkenaan," katanya menjawab soalan peguam.

Pada Jumaat, Eda Ezrin menjadi individu pertama memberi keterangan pada hari ketiga perbicaraan kes berkaitan memiliki 6,059 biji pil kuda yang ditemukan di dalam sebuah bilik hotel di Golok pada 1 November lalu.

Penyanyi lagu Bea Sobar Bea itu memberikan keterangan selama satu jam.

Dalam keterangan Eda Ezrin, dua lagi individu yang dikenali sebagai Sirik dan Mek Da telah masuk ke dalam biliknya selepas itu.

"Kemudian, Mek Da terus masuk ke dalam bilik air sementara Sirik berbual-bual dengan saya. Selepas Mek Da keluar dari bilik air, mereka berdua meninggalkan bilik penginapan berkenaan.

"Lebih kurang 10 minit selepas itu polis melakukan serbuan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah Wilayah Narathiwat di sini pada Jumaat menetapkan tarikh 6 Mac ini sebagai keputusan kes penyanyi wanita itu bersama suami, Mohd Affendi Ahmad, 35, serta empat lagi rakan mereka iaitu Mohamad Alif Deraman, 33; Nur Aida Mamat, 33, Zuhaira Nasrin, 26, dan Erdieka Mohd Noor, 33.

Sinar Harian pada 14 Januari lalu melaporkan Eda Ezrin, suami dan empat lagi rakannya didakwa di Mahkamah Wilayah Narathiwat atas dua kesalahan iaitu mengambil dadah dan memiliki 6,059 biji pil kuda.

Kesemua tertuduh mengaku mengambil dadah di hadapan Hakim Yuan Khao Kham.

Bagaimanapun mereka tidak mengaku memiliki 6,059 biji pil kuda semasa ditahan di sebuah hotel di Golok di sini pada 1 November lalu.

Sementara itu Erdieka dan Zuhaira mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu memasuki Thailand tanpa dokumen rasmi dan menduduki negara ini secara tidak sah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!