Kerajaan cadang jenayah e-waste didakwa di bawah AMLA, POCA

Nik Nazmi Nik Ahmad
Nik Nazmi Nik Ahmad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan juga sedang meneliti beberapa cadangan serta tindakan tegas seperti memasukkan jenayah alam sekitar di bawah Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001 dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, langkah itu adalah salah satu usaha kementeriannya dalam membanteras penyeludupan e-waste ke dalam negara.

Selain itu katanya, kerajaan juga sedang meneliti cadangan penurunan kuasa Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk jenayah alam sekitar.

“Pihak kami juga melihat kepada cadangan Pindaan Akta Pelabuhan dan Peraturan Zon Bebas untuk tindakan terhadap ejen perkapalan yang membuat perisytiharan palsu dan menyenaraihitamkan syarikat-syarikat yang kerap melanggar undang-undang.

“Pindaan AKAS 1974 juga sedang diteliti agar semua aktiviti kitar semula berada di bawah Jadual Kedua Perintah Kualiti Alam Sekitar dan mewujudkan perundangan khusus untuk pengurusan pengimportan sisa.

“Pihak kementerian juga bercadang untuk mewajibkan pemeriksaan pihak ketiga bagi negara pengeksport sisa untuk memastikan barangan sesuai dengan ikrar dan mengharamkan pengimportan sisa dari negara yang tidak meratifikasikan Konvensyen Basel serta mengutamakan sisa tempatan dan pengimportan sisa yang diperlukan oleh industri negara,” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) tentang tindakan yang diambil oleh kerajaan dalam membanteras penyeludupan e-waste ke dalam negara, susulan serbuan besar-besaran ke atas kilang haram memproses sisa elektronik di beberapa negeri baru-baru ini.

Tambah Nik Nazmi, kementeriannya juga memandang serius isu penyeludupan e-waste ke dalam negara.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, Malaysia tidak membenarkan pengimportan e-waste berdasarkan polisi semasa negara dan Ban Amendment di bawah Konvensyen Basel yang melarang negara The Organization for Economic Cooperation and Development (OECD) mengeksport sisa berbahaya dari negara maju ke negara membangun.

“Op Hazard yang dilaksanakan serentak di seluruh negara hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) melibatkan pemeriksaan ke atas 47 premis berjaya menyita sebanyak 15,764.90 metrik tan e-waste yang dianggarkan bernilai RM55 juta.

“Pemeriksaan mendapati bahawa 30 premis beroperasi secara haram, tujuh premis merupakan premis barang lusuh, enam premis berlesen di bawah JAS, tiga premis berlesen di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan satu gudang haram,” ujar beliau.

Jelas Nik Nazmi, lokasi premis-premis tersebut berada di kawasan industri dan terdapat juga di luar kawasan industri seperti di tanah rizab, ladang kelapa sawit dan kawasan hutan.

Premis-premis itu kebanyakannya beroperasi secara haram dan tidak dilesenkan oleh PBT.

“Operasi kilang-kilang ini didalangi oleh warganegara asing yang menggunakan tenaga kerja daripada pendatang asing tanpa izin (PATI) atau pekerja yang menyalahgunakan permit kerja.

“Kesemua premis yang terlibat telah disiasat di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) (Akta 127) yang merangkumi pelbagai kesalahan antaranya Seksyen 16, AKAS 1974 kerana gagal mematuhi syarat lesen yang ditetapkan.

“Selain itu, Seksyen 18, AKAS 1974 kerana menjadi kemudahan penstoran luar tapak buangan terjadual tanpa lesen JAS dan Seksyen 19, AKAS 1974 disebabkan gagal mengemukakan kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Alam Sekitar,” katanya.

Premis berkenaan juga ujarnya, disiasat di bawah Seksyen 34A, AKAS 1974 iaitu gagal mengemukakan laporan kajian EIA dan Seksyen 34B, AKAS 1974 kerana menempatkan buangan terjadual tanpa kelulusan Ketua Pengarah Alam Sekitar.

Sehubungan itu, 37 premis telah dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a), AKAS 1974 terhadap mesin-mesin pengeluaran yang digunakan di dalam premis tanpa sebarang alat kawalan.

Sebanyak 59 Notis Arahan dan 27 kompaun turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 sementara sebanyak 52 kertas siasatan juga akan dibuka bagi tujuan tindakan mahkamah.

“Di bawah Seksyen 34B, AKAS 1974, sebarang penempatan buangan terjadual, sama ada di darat atau dalam perairan Malaysia, serta aktiviti transit atau membenarkan e-waste di transit tanpa kelulusan Ketua Pengarah Alam Sekitar, adalah satu kesalahan.

“Jika sabit kesalahan, hukuman yang boleh dikenakan adalah denda maksimum RM10 juta dan penjara tidak melebihi 5 tahun, berdasarkan Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!