MCW gesa tindakan tegas, telus kepada pegawai bekas PM ke-9

Laporan Sinar Harian berhubung penahanan empat pegawai bekas Perdana Menteri ke-9 oleh SPRM. (Gambar kecil: Jais)
Laporan Sinar Harian berhubung penahanan empat pegawai bekas Perdana Menteri ke-9 oleh SPRM. (Gambar kecil: Jais)
A
A
A

SHAH ALAM - Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya mengenakan tindakan undang-undang tegas susulan penahanan empat pegawai yang mempunyai kaitan dengan bekas Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, sekiranya wujud bukti kukuh berlaku elemen rasuah atau salah guna kuasa, pihak terlibat wajib dihadapkan ke mahkamah tanpa sebarang kompromi dan tidak boleh dilindungi atas dasar politik mahupun jawatan.

Menurut beliau, SPRM juga mesti memastikan siasatan dijalankan secara bebas, adil dan telus serta memaklumkan perkembangan kes kepada rakyat secara berkala.

“Sebarang salah guna kuasa atau penyelewengan dana awam perlu ditangani dengan tegas agar kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan tidak terhakis.

“Kejadian seperti ini menunjukkan keperluan untuk memperkukuh sistem semak dan imbang dalam pengurusan dana awam. Justeru, MCW meminta reformasi institusi dilaksanakan dengan lebih menyeluruh.

“Kami juga ingin mengingatkan semua pemimpin dan penjawat awam bahawa amanah yang diberikan rakyat tidak boleh disalahgunakan demi kepentingan peribadi atau kelompok tertentu,“ katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Menurut laporan sumber, tiga individu direman selama lima hari bermula Jumaat manakala seorang lagi tiga hari sebelum dibebaskan hari ini.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha di Mahkamah Putrajaya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi media mengesahkan bahawa siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Jais berpandangan, perkembangan sedemikian mencerminkan usaha berterusan SPRM dalam membanteras rasuah tanpa mengira individu, pangkat atau kedudukan.

Tambahnya, MCW akan terus memantau perkembangan kes dari semasa ke semasa dan menyokong penuh sebarang usaha untuk membersihkan negara daripada gejala rasuah.

“Integriti dan ketelusan dalam pentadbiran negara patut menjadi keutamaan.

“MCW mengajak rakyat Malaysia untuk bersama-sama menolak sebarang bentuk penyelewengan dan menyokong budaya integriti dalam pentadbiran negara,“ ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!