Dua anggota polis curi RM300,000, kertas siasatan dirujuk ke Bukit Aman

KUALA LUMPUR - Polis sudah melengkapkan kertas siasatan kes pegawai dan anggota polis didakwa terlibat kes curi wang tunai RM300,000 di Bukit Jalil di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, kertas siasatan telah hantar ke Bukit Aman sebelum dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan lanjut.
"Setakat ini kita sudah merakam 21 keterangan daripada saksi termasuk dua suspek yang ditahan.
"Siasatan dilaksanakan secara telus dan cepat, kita ada cadangkan namun ia bergantung kepada TPR untuk menentukan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, pada Selasa.
Rusdi berkata, kedua-dua pegawai dan anggota yang disiasat kini ditukarkan sementara ke Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.
"Wang tunai berjumlah RM300,000 yang didakwa dicuri masih belum ditemui.
"Orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan," katanya.
Pada 24 Februari lalu, polis mengesahkan menahan Inspektor dan Koperal masing-masing berusia 44 serta 34 tahun bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kes curi.
Polis membuka kertas siasatan susulan satu laporan yang diterima berhubung kes berkenaan.
Dua anggota dan pegawai polis ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
