Apung harga beras tempatan, struktur semula Bernas

SHAH ALAM – Harga beras putih tempatan perlu diapungkan sebagai strategi utama menyelesaikan segera masalah kekurangan beras putih tempatan di pasaran yang masih berlarutan sebelum menstruktur semula syarikat Padiberas Nasional Bhd (Bernas).
Pakar Keterjaminan Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Emeritus Datuk Dr Mad Nasir Shamsudin berkata, ia kerana masalah kekurangan beras putih tempatan berlaku disebabkan produk beras keluaran tempatan itu hampir sama dengan beras putih import menyebabkan berlakunya kes beras campur.
Katanya, pengeluaran beras negara pada masa ini pada kadar 56.2 peratus sementara yang lainnya diimport.
“Perkara ini berlaku disebabkan harga beras import tidak dikawal manakala harga beras putih pula dikawal pada RM2.60 sekilogram sekali gus menyebabkan beras tempatan tidak ada di pasaran.
“Seelok-eloknya harga beras putih tempatan pun kita apungkan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Pemuda UMNO pada Selasa dilaporkan sekali lagi memberi cadangan supaya dilakukan pemecahan monopoli Bernas sebagai satu-satunya pihak yang mengawal import dan pengedaran beras di negara ini.
Mad Nasir menegaskan, sekiranya harga beras putih diapung kerajaan berpeluang melaksanakan pemberian subsidi bersasar kepada rakyat miskin.
“Kementerian Ekonomi dan beberapa agensi sebelum ini telah membangunkan Pangkalan Data Utama (Padu), jadi sistem ini boleh mengenal pasti rakyat yang layak dapat subsidi ini. Sebab sekarang ini dengan harga siling beras putih tempatan RM2.60 sekilogram yang disasarkan kepada rakyat, ia juga turut dibeli oleh warganegara asing.
“Jadi pada saya dengan bajet terhad kerajaan untuk penyaluran subsidi ini maka saya rasa subsidi bersasar ini lebih efisien,” ujarnya.
Justeru, katanya, penarikan monopoli Bernas boleh dibuat sebagai strategi kedua untuk memastikan pemasaran yang lebih cekap.
“Kita tahu lazimnya dalam banyak perkara, monopoli ini adalah sesuatu yang tidak baik, jadi syor penstrukturan semula Bernas adalah bagus,” ulasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

