Bekalan beras putih tempatan masih kurang di Kedah

SUNGAI PETANI - Beberapa lokasi tinjauan di negeri ini mendapati rakyat masih menunggu bekalan beras putih tempatan (BPT) di pasaran yang dikesan berdepan masalah kekurangan, sama seperti yang dilalui sebelum ini.
Seorang pengurus sebuah pasar raya di sini mendakwa, kekurangan bekalan BPT telah lama berlaku dan setakat ini, masih belum terdapat tanda-tanda situasi itu akan pulih.
Ujarnya, pihaknya menerima bekalan BPT hanya sekitar 50 kampit dalam tempoh kira-kira seminggu, berbanding beras import yang sedia ada di pasaran.
"Macam biasa, bekalan beras putih akan dihantar dalam kira-kira 50 kampit, pagi tadi hantar, sekejap saja dah habis...semua orang tunggu untuk beli tetapi stok kurang.
"Kita tempah banyak dalam 500-600 kampit tetapi hanya dibekalkan sekitar 50 sahaja... dijanjikan jika minggu depan ada stok, pembekal akan hantar. Difahamkan, jumlah bekalan sama juga, akan dapat dalam 50 kampit, begitulah bayangan yang diberikan," katanya kepada Sinar Harian.

Pengguna, Yahaya Ismail, 67, dari Yan, mendakwa, sejak beberapa hari lalu, bekalan BPT dipercayai masih belum sampai.
"Tak nampak lagi (BPT) di pasaran, jika ada pun hanya di Jualan Rahmah yang dianjurkan, di masa-masa tertentu sahaja," dakwanya.

Seorang lagi pengguna, Faizul Nahirmi, 44, dari Sungai Lalang mendakwa, beberapa buah kedai di sekitar kawasan perumahannya masih belum ada bekalan BPT.
Katanya, hanya beras import yang ditawarkan kepada pengguna dan harganya sudah tentu lebih tinggi.
Dalam pada itu, Shafawati Sobry, 40, dari Langkawi mendakwa, setakat ini, sukar memperoleh BPT di pasaran berbanding beras import walaupun kerajaan mengumumkan bekalan itu akan mula berada di pasaran bermula Mac.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

