Laporan Ketua Audit Negara dedah 273 isu baharu peringkat Persekutuan, negeri

Wan Suraya merafak sembah menjunjung kasih kepada Sultan Ibrahim atas perkenan baginda menerima menghadap di Istana Negara pada 4 Februari lalu.
Wan Suraya merafak sembah menjunjung kasih kepada Sultan Ibrahim atas perkenan baginda menerima menghadap di Istana Negara pada 4 Februari lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin mendedahkan berlaku sebanyak 273 isu baharu membabitkan pengurusan kewangan serta tadbir urus di peringkat Persekutuan dan negeri.

Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, laporan itu yang dibentang selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong terdiri daripada 15 naskhah Penyata Kewangan Agensi Persekutuan 2024 dan aktiviti kementerian, jabatan dan badan berkanun Persekutuan serta pengurusan syarikat kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, ia turut melibatkan aktiviti kementerian, jabatan dan agensi negeri serta pengurusan syarikat kerajaan negeri.

Kata beliau, semua isu boleh diakses melalui Papan Pemuka dalam Talian Ketua Audit Negara (AGD) bagi memastikan pemantauan dan susulan audit dilaksanakan secara berterusan oleh kementerian, jabatan, agensi serta syarikat di peringkat Persekutuan dan negeri.

"Bagi tempoh 2024 hingga Disember 2025, pelaksanaan sistem (AGD) ini telah menyumbang kepada pemulihan hasil dan bayaran balik kerajaan berjumlah RM316.68 juta.

"Daripada jumlah itu, sebanyak RM221.52 juta merupakan kutipan daripada agensi Persekutuan merangkumi tuntutan penalti, tunggakan sewa, pajakan tanah serta kutipan duti dan cukai," katanya dalam satu kenyataan.

Wan Suraya menjelaskan, AGD memainkan peranan penting dan memberikan impak yang besar dalam memperkukuh pengurusan wang awam serta meningkatkan keberkesanan tindakan susulan audit.

Menyentuh mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan 2024, beliau memaklumkan, setakat 9 Januari lalu, sebanyak 143 daripada 145 penyata kewangan telah dikemukakan untuk pengesahan dan selesai pensijilan.

Tambahnya, sebanyak 128 daripada jumlah itu menerima Sijil Ketua Audit Negara dengan Pendapat Tanpa Teguran manakala 15 lagi menerima Pendapat Diubah Suai.

Artikel Berkaitan:

“Fokus Utama Audit bagi LKAN kali ini ialah berkaitan isu ketakteraturan serius dalam kutipan hasil yuran dan perbelanjaan di Universiti Kebangsaan Malaysia yang berlaku apabila perjanjian kerjasama dibuat tanpa kelulusan Menteri Kewangan selaras dengan peruntukan perlembagaan universiti itu, selain wujud perbelanjaan yang tidak mematuhi prosedur kewangan ditetapkan.

"Isu ketakteraturan serius itu telah dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Ketakteraturan Serius Bil 1 Tahun 2026 pada 6 Februari lepas selaras dengan peluasan kuasa Ketua Audit Negara di bawah subseksyen 9(4) Akta Audit 1957 bagi membolehkan syor dikemukakan untuk menangani ketakteraturan dalam pengakaunan atau penjagaan wang awam," ujarnya.

Sementara itu, Wan Suraya berkata, pindaan Akta Audit 1957 turut memperluas kuasa Jabatan Audit Negara untuk mengaudit badan lain termasuk syarikat yang menerima kepentingan awam, dengan 1,856 badan telah diwartakan bagi tujuan pengauditan melalui pendekatan ‘Follow The Public Money Audit’.

Beliau menegaskan, hasil audit melalui Sistem e-SelfAudit mendedahkan terdapat syarikat yang menjalankan aktiviti tidak selaras dengan objektif penubuhan, syarikat yang tidak membayar dividen walaupun mencatat keuntungan dan syarikat yang berdepan isu usaha berterusan walaupun menerima sokongan kewangan kerajaan.

"LKAN 1/2026 turut melaporkan hasil pengauditan prestasi pelaksanaan program berimpak tinggi termasuk Program Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi serta perbelanjaan Projek Pembangunan MyDigital ID selain pengauditan aktiviti kementerian, jabatan dan agensi negeri," katanya.

Orang awam boleh mengakses LKAN 1/2026 peringkat Persekutuan melalui laman sesawang Jabatan Audit Negara di https://lkan.audit.gov.my bermula 10 pagi hari ini.

Ringkasan AI

  • Laporan Ketua Audit Negara 1/2026 membongkar 273 isu baru berkaitan pengurusan kewangan di Malaysia
  • Rangkuman ini meliputi penemuan dari agensi Persekutuan dan negeri termasuk syarikat kerajaan
  • Semua isu dapat diakses melalui Papan Pemuka dalam Talian Ketua Audit Negara untuk pemantauan berterusan
  • Pelaksanaan sistem AGD telah menyumbang kepada pemulihan hasil dan bayaran balik kerajaan berjumlah RM316.68 juta
  • LKAN kali ini menumpu pada isu ketakteraturan serius dalam kutipan hasil yuran dan perbelanjaan di Universiti Kebangsaan Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!