Teresa menang saman terhadap Ketua Pemuda Pas Selangor

Teresa Kok
Teresa Kok
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok hari ini memperoleh ganti rugi RM80,000 selepas memenangi kes saman fitnah difailkannya terhadap Syarhan Humaizi Abdul Halim berhubung penerbitan artikel di dalam akaun Facebook milik Ketua Pemuda Pas Selangor itu, tahun lepas.

Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Firuz Jaffril yang membenarkan tuntutan saman Teresa selaku plaintif terhadap Syarhan selaku defendan, yang difailkan pada 4 Februari 2019.

Mohd Firuz dalam penghakimannya berkata, mahkamah mendapati dua artikel yang diterbitkan oleh defendan (Syarhan) merujuk kepada (plaintif) Teresa dan memfitnahnya.

Beliau berkata, artikel itu yang disiarkan di laman Facebook defendan telah dibaca serta mendapat maklum balas daripada pengguna laman sosial berkenaan.

“Pembaca akhirnya membuat dapatan bahawa plaintif adalah seorang anti-Islam, bersifat perkauman dan memberi implikasi negatif terhadap reputasi plaintif sebagai seorang ahli politik,” katanya.

Hakim itu berkata, mahkamah juga tidak bersetuju dengan pembelaan defendan bahawa Teresa seorang anti Islam selepas mendakwa Teresa dan DAP telah menentang penggunaan tulisan Jawi di papan tanda jalan dan memberi sokongan kepada Festival Arak yang diadakan di Kuala Lumpur.

“Mahkamah mengakui hak bersuara adalah untuk menjamin Perlembagaan tetapi hak itu tertakluk kepada undang-undang terutama membabitkan Akta Hasutan,” katanya yang turut memerintahkan defendan membayar kos RM10,000 kepada plaintif.

Berhubung ganti rugi am RM80,000 itu, Mohd Firuz berkata, jumlah berkenaan adalah munasabah dan bukan bertujuan untuk menghukum defendan.

Artikel Berkaitan:

Syarhan yang hadir pada prosiding hari ini diwakili peguam, Wan Rohimi Wan Daud manakala Teresa diwakili peguam, SN Nair dan K Murali.

Dalam saman difailkan pada 4 Februari 2019, Teresa mendakwa Syarhan selaku defendan telah menulis, memuat naik atau menerbitkan artikel bertajuk 'Ucapan YB Ustaz Khalil Benar: DAP Jangan Kurang Ajar' dalam akaun Facebooknya pada 19 Januari tahun sama, yang mana artikel itu turut diterbitkan dalam media cetak dan sosial di dalam dan luar negara.

Dalam penyataan tuntutan, Teresa mendakwa defendan juga menerbitkan artikel bertajuk 'Teresa Kok Tidak Setuju Islam Agama Rasmi Persekutuan' di dalam sebuah portal berita, Malaysia Today pada 12 Januari 2019.

Dakwa plaintif, perkataan-perkataan fitnah di dalam kedua-dua artikel itu antara lain membawa maksud beliau adalah anti Islam, bersifat perkauman, menyalah guna kuasa sebagai menteri Kabinet serta seorang yang tidak beretika dan tidak boleh dipercayai.

Syarhan dalam penyataan pembelaannya yang difailkan pada 29 Mac 2019 mendakwa artikel pertama yang diterbitkannya adalah berasaskan fakta-fakta yang benar dan bersifat tindak balas politik yang munasabah terhadap DAP selain mendakwa ia tidak bersifat memfitnah plaintif (Teresa).

Syarhan juga mendakwa, beliau tidak pernah menerbitkan artikel kedua itu selain mendakwa artikel berkenaan tiada kaitan dengan Teresa.

Sementara itu, Wan Rohimi ketika ditemui pemberita berkata, beliau akan berbincang dengan anak guamnya sama ada ingin memfailkan rayuan berhubung keputusan hari ini atau sebaliknya. - Bernama