Niat kongsi rezeki, peniaga ayam golek hanya naikkan harga RM1

Mohamad (kiri) melihat pekerjanya mengambil ayam golek yang siap dipanggang. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
Mohamad (kiri) melihat pekerjanya mengambil ayam golek yang siap dipanggang. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

KOTA BHARU – Seorang peniaga ayam golek hanya menaikkan harga RM1 bagi setiap ekor ayam golek dengan niat mahu berkongsi rezeki bersama pelanggan sepanjang Ramadan.

Mohamad Awang, 63, yang berniaga di bazar Ramadan Stadium Sultan Muhammad ke-IV berkata, kenaikan harga itu dibuat selepas mengambil kira peningkatan kos bahan mentah dan tapak niaga, namun dia tetap berusaha mengekalkan harga mampu milik untuk pelanggan.

“Harga ayam golek tahun lepas RM26 hingga RM27 seekor, tahun ini saya jual RM28 sahaja.

“Ayam masih sama, seberat sekitar 1.9 kilogram hingga 2 kilogram,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di gerainya di sini pada Rabu.

Menurutnya, harga borong ayam yang sebelum ini sekitar RM7 lebih sekilogram kini meningkat kepada RM8 lebih sekilogram, menyebabkan kos penyediaan ayam golek turut bertambah.

Selain itu, harga arang yang digunakan untuk memanggang ayam juga naik daripada RM25 kepada RM35 bagi setiap 22 kilogram, sementara bekas makanan yang digunakan untuk membungkus ayam golek berharga RM1 setiap satu.

Walaupun keuntungan semakin kecil, Mohamad berkata, dia tetap bersyukur kerana masih dapat berniaga dan berkongsi rezeki dengan pelanggan yang sentiasa menyokongnya.

Mohamad. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
Mohamad. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID

Artikel Berkaitan:

“Kita faham keadaan sekarang, semua harga barang naik dan kalau kita naikkan harga terlalu banyak, orang pun susah nak beli.

“Jadi saya naikkan sikit saja, biar semua dapat merasa,” katanya.

Dia yang berniaga ayam golek selama lebih 10 tahun turut berdepan dengan kenaikan kos tapak niaga di bazar tersebut daripada RM580 kepada RM1,750 bagi lot sudut.

Mohamad berkata, permintaan terhadap ayam golek masih tinggi terutama pada bulan Ramadan.

“Selagi masih ada keuntungan walaupun kecil, saya akan terus berniaga dengan harga yang berpatutan agar pelanggan dapat menikmati juadah berbuka tanpa terbeban dengan harga yang terlalu mahal,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!